- Iklan -
Berita

Di sebalik sampah sarap perumahan kos rendah

Banyak pangsapuri kos rendah diselenggara dengan teruk menyebabkan sampah tidak diuruskan, selain sikap penduduk atau masalah struktur yang berada di luar kawalan mereka.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Sampah dibuang penduduk dari tingkap rumah mencacatkan pemandangan di koridor tingkat bawah sebuah pangsapuri di Petaling Jaya, Selangor.
Sampah dibuang penduduk dari tingkap rumah mencacatkan pemandangan di koridor tingkat bawah sebuah pangsapuri di Petaling Jaya, Selangor.

Dari luar, pangsapuri itu kelihatan seperti blok perumahan kos rendah yang normal seperti perumahan lain.

Namun menginjakkan kaki ke koridor tingkat bawah, pengunjung akan disambut longgokan sampah yang bergelimpangan di kiri dan kanan koridor.

Tinjauan MalaysiaNow ke sebuah pangsapuri kos rendah di Kayu Ara, Petaling Jaya, Selangor mendapati koridor itu berada dalam keadaan tidak terurus.

Gelap, kotor dan berbau busuk, tidak dapat dibayangkan bagaimana penduduk tersebut mampu untuk hidup dalam keadaan yang tidak terurus itu.

Paip dari tingkat atas juga bocor sehingga menyebabkan air bertakung di salah sebuah kawasan di tepi koridor.

Grafiti dan najis kucing belaan menjadi tatapan yang mencacatkan pemandangan di bahagian tangga perumahan itu.

Sejak berpindah masuk ke tersebut lima tahun lalu, keluarga wanita itu terpaksa menghadapi persekitaran yang kotor di tingkat bawah flat setiap hari.

Hanya ingin dikenali sebagai Dania, wanita itu berkata keadaan di pangsapuri itu tidak berubah dari segi kekemasan dan kebersihan sepanjang menetap di situ.

“Memang macam ini keadaannya, ada kalanya dibersihkan tapi kotor balik,” katanya.

Dia yang mempunyai beberapa orang anak yang masih bersekolah.

Dia mengakui persekitaran flat itu tidak baik untuk kanak-kanak.

Risiko terdedah kepada penyakit seperti denggi dan penyakit lain sentiasa ada.

Longgokan sampah juga kelihatan di tempat membuang sampah.

Masalah seluruh Malaysia?

Di Pulau Pinang, tular beberapa keping gambar tahun lalu yang menunjukkan keadaan yang hampir sama di sebuah blok Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Sampah memenuhi aras bawah dengan jumlah yang banyak.

Seorang penduduk memaklumkan meskipun pihak berkuasa datang mencuci kawasan itu, ia menjadi kotor semula tidak berapa lama kemudian.

Isu kebersihan antara masalah yang dihadapi penduduk di sesetengah perumahan kos rendah, sama ada awam atau swasta.

Air yang bertakung di sebelah koridor aras bawah mendatangkan risiko bahaya kepada kesihatan selain menjadi punca kekotoran.

Penduduk juga dihambat isu-isu lain antaranya kurangnya fasiliti tempat letak kereta.

Pangsapuri kos rendah, kebanyakannya dibina berpuluh tahun dahulu, mempunyai jumlah unit yang banyak.

Ini bermakna lebih ramai penduduk yang tinggal atau menyewa dalam satu kawasan yang kecil.

Ia menimbulkan persoalan sama ada masalah kebersihan berpunca dari masalah sikap penduduk yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah, atau masalah struktural yang membabitkan perancangan dan dasar pihak berkuasa.

Ainoriza Mohd Aini dari Universiti Malaya berkata antara punca masalah itu ialah kekangan tempat pembuangan sampah.

“Contohnya, di sesetengah PPR, tempat pembuangan sampah atau rumah sampah yang terlalu kecil dan tidak dapat menampung jumlah sampah yang banyak terutama sekali masalah sampah besar dan pukal,” katanya kepada MalaysiaNow.

Namun tidak dinafikan masalah kebersihan di sekitar perumahan tersebut berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab penduduk sendiri.

Pangsapuri tinggi katanya, sering mengalami kerosakan lif yang mengakibatkan penduduk bertindak melemparkan sampah ke bawah atau meningkat sampah di blok atau tingkat lain.

Ainoriza, yang membuat kajian mengenai penduduk PPR berkata, semasa perintah kawalan pergerakan (PKP), lebih banyak sampah domestik dihasilkan ekoran kadar pembungkusan digunakan lebih tinggi.

“Melalui temu bual dengan pengurusan, kos pengurusan terutama sekali kos pembersihan adalah sangat tinggi berbanding amaun kutipan wang penyelenggaraan daripada pemilik PPR.

“Jadual kutipan juga kadang-kadang tidak konsisten menjadikan sampah terkumpul terlalu banyak,” katanya.

Perkara itu diakui seorang kakitangan badan pengurusan bersama pangsapuri di Kayu Ara yang ditemui MalaysiaNow.

Katanya, ramai penduduk tidak membayar wang penyelenggaraan yang menyebabkan usaha membersihkan kawasan sekitar menjadi sukar.

Tambah Ainoriza, tindakan tegas perlu diambil oleh pihak pengurusan jika terdapat penghuni yang membuang sampah di tempat yang tidak sepatutnya.

Ia termasuk membuat laporan polis jika menyebabkan kerosakan harta benda atau penghuni lain.

Ini sesuai dengan cara negara Singapura menjaga flat kos rendah mereka, HDB.

Negara republik itu turut mengadakan kempen termasuk pertandingan kebersihan “Cleanest Block Competition and Cleanest Estate Competition” untuk mengurangkan masalah kebersihan dan pembuangan sampah merata, yang boleh ditiru oleh pihak berkuasa tempatan.

“Namun begitu, saya rasa persatuan penduduk perlu mengambil langkah proaktif dalam mengingatkan penghuni untuk sama-sama menjaga kebersihan.

“Saya ada melawat PPR yang dijaga dengan baik kerana terdapat persefahaman di antara penduduk tentang tanggungjawab untuk menjaga harta mereka bersama,” katanya.

Ainoriza berkata, di United Kingdom pihak berkuasa tempatan mempunyai pusat penghantaran sampah pukal yang boleh dihantar oleh penduduk, manakala rumah sampah di blok kediaman hanya untuk sampah domestik.

Katanya, rumah kos rendah pada masa hadapan perlu mempunyai reka bentuk memudahkan penghuni membuang sampah, dan rumah sampah yang besar mengikut jumlah penduduk.

PPR dan rumah kos rendah di masa hadapan perlu direka bentuk untuk memudahkan penghuni membuang sampah dan rumah sampah/chamber yang besar mengikut jumlah penduduk/penghuni.

Di Kayu Ara, Dania berkata dia mengimpikan untuk berpindah dari rumah tersebut, jika mempunyai rezeki.

“Saya tak mahu anak-anak saya terus berdepan dengan masalah sampah dan masalah sosial lain di kawasan ini. Tak baik untuk masa depan mereka,” katanya.