- Iklan -
Berita

Perbicaraan Depp-Heard: Dedahkan sisi baru persepsi keganasan rumah tangga?

Walaupun perbicaraan itu memberi tumpuan terhadap mangsa lelaki, namun persoalan apakah ia akan menjejaskan kes-kes sedemikian pada masa hadapan masih tidak dapat dipastikan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
4 minit bacaan
Kongsi

Perbicaraan saman fitnah pelakon terkenal Hollywood, Johnny Depp terhadap bekas isterinya, Amber Heard yang bermula sejak 11 April lalu diwarnai dengan komen dan pandangan yang berbelah bagi dalam kalangan mereka yang mengikuti prosiding di mana satu kumpulan menyokong Depp dan Heard pula disokong satu kumpulan lain.

Di media sosial, penyokong mereka berdua dicerminkan melalui pelbagai tanda pagar termasuk #justiceforjohnnydepp, #johnnydeppisinnocent dan #istandwithamberheard.

Bagaimanapun, sokongan pengguna internet yang menyebelahi Depp memberikan satu petanda penting dalam kes sedemikian yang biasanya simpati akan didominasi pihak wanita sebagai mangsa penderaan domestik.

Perbicaraan itu juga berlangsung pasca gerakan “MeToo”, di mana ramai wanita mendedahkan mereka menjadi mangsa keganasan dan gangguan seksual.

Gerakan Me Too dipopularkan oleh pelakon Alyssa Milano yang membuka kisahnya diganggu secara seksual oleh penerbit Hollywood, Harvey Weinstein.

Ia menimbulkan persoalan apakah selepas ini sukar untuk masyarakat menerima testimoni atau kesaksian daripada pihak wanita berhubung keganasan rumah tangga.

Bercakap kepada MalaysiaNow, Jernell Tan daripada All Women’s Action Society (Awam) berkata, pihaknya tidak menjangkakan banyak perubahan berlaku memandangkan situasi tersebut sudah lama berakar dalam masyarakat.

“Trivialisasi, penafian dan menyalahkan mangsa dalam mendepani pengalaman mangsa wanita oleh orang awam sudah lama berlaku, malah sebelum kemunculan testimoni Depp yang mendakwa keganasan rumah tangga terhadap dirinya.

“Perkara sama terpakai kepada anggapan bahawa keganasan berasaskan jantina (terutamanya rogol) adalah dakwaan palsu yang dibuat oleh wanita dan kanak-kanak perempuan, yang berdasarkan mitos lama ‘wanita pembohong’ dan lebih kerap memburukkan mangsa,” katanya kepada MalaysiaNow.

Depp yang juga pelakon utama francais filem “Pirates of The Caribbean” memfailkan saman fitnah sebanyak AS$50 juta terhadap Heard selepas wanita itu menuduhnya melakukan keganasan rumah tangga pada 2016, beberapa hari selepas beliau memfailkan perceraian.

Sementara Heard juga turut menyaman balas sebanyak AS$100 juta, terhadap Depp mendakwa bekas suaminya itu mencemarkan nama baiknya dengan menggelarnya sebagai penipu.

Tan berkata persepsi yang mengaitkan wanita sebagai mangsa dalam kes rumah tangga itu dibentuk oleh realiti semasa yang menjadikan golongan itu lebih terdedah sebagai mangsa.

Menurut Tan, sistem patriarki mengakibatkan keganasan terhadap kanak-kanak perempuan dan wanita diabsahkan sebagai cara untuk mengawal sikap mereka.

Namun, tambahnya, sistem itu bukan hanya memberikan kesan terhadap wanita sahaja.

“Patriarki yang sama ini juga memudaratkan lelaki, yang mana mereka dihukum sekiranya mereka gagal mematuhi spektrum tingkah laku maskulin yang sempit membabitkan kekuatan fizikal, penguasaan dan tidak mudah terkesan.

“Bahkan, lelaki yang menjadi mangsa keganasan berasaskan jantina secara umumnya mengalami stigma yang lebih tinggi, pengasingan dan penganiayaan oleh pihak ketiga akibat daripada ini. Ia menghalang usaha mencari bantuan dan seterusnya menjejaskan kesejahteraan mereka.”

Sharifah Fatimah Al Attas, pakar sosiologi Universiti Islam Antarabangsa berkata, idea maskuliniti yang menjangkakan lelaki sewajarnya menjadi kuat dan tidak mungkin wanita boleh mendera lelaki sememangnya tertanam dalam masyarakat.

“Kes tersebut menunjukkan bahawa lelaki berpotensi menjadi mangsa keganasan domestik, dan ia menjadi peringatan kepada masyarakat.

“Walaupun lelaki yang menjadi mangsa, kita kena ambil pendirian untuk mempercayai mangsa,” katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, kes ini juga menunjukkan bagaimana masyarakat memberi respon terhadap isu tersebut dan naratif yang terbentuk.

“Ia terkait dengan bagaimana jangkaan kita terhadap sikap mangsa. Mereka tidak akan selalu bersikap atau kelihatan sama.

“Individu yang melalui trauma, akibat daripada penderaan tersebut mereka mungkin tidak akan memberi respon yang kita sangkakan,” katanya.

Peguam Mohd Ridhwan Husin yang berpengalaman mengendalikan kes-kes syariah berkata, tiada layanan berbeza antara jantina berhubung keganasan domestik, namun katanya lelaki yang membentuk 21% mangsa keganasan domestik mempunyai ego, yang menyebabkan mereka tidak melaporkan kes tersebut.

“Bentuk-bentuk keganasan termasuk fizikal, emosi, ekonomi, seksual dan sosial dan kesemua ini termaktub dalam undang-undang dalam negara.

“Dalam aspek perlindungan untuk keganasan rumah tangga, ia boleh didapati mana-mana pihak tanpa mengira jantina.

“Mangsa boleh mendapatkan perintah perlindungan sementara atau perintah perlindungan kekal bagi menghalang pemangsa terus menjadikan mereka objek keganasan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Ridhwan yang juga penolong setiausaha agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia berkata, keganasan rumah tangga tidak terhad kepada suami isteri malah boleh membabitkan kanak-kanak dan orang tua.

Selain Akta Keganasan Rumah Tangga, pasangan Islam boleh mendapatkan perintah injuksi di mahkamah syariah.

Tan pula menambah, testimoni Depp itu mampu menjadi instrumental dalam mengetengah dan mengabsahkan pengalaman mangsa lelaki yang sekian lama tidak diambil berat.

“Ia akan menjadi langkah pertama dalam mewujudkan ruang selamat (safe space) untuk semua mangsa tanpa mengira jantina.”

Walaupun ada pihak yang akan menggunakan testimoni tersebut untuk menjustifikasikan pendirian misoginistik mereka, Tan menegaskan yang statistik sedia ada yang menunjukkan ramai wanita menjadi mangsa menjadikan pendirian itu sukar diterima oleh majoriti.

Justeru, penting untuk perbincangan awam, pendidikan dan kesedaran terhadap isu tersebut mengekalkan kesimbangan dalam menjadi multidimensi dan inklusif.

Ridhwan pula berkata, perbicaraan tersebut mungkin tidak memberikan impak kepada kes-kes keganasan domestik terhadap lelaki di Malaysia, ekoran stigma “takut bini” yang terlalu menebal dalam kalangan anggota masyarakat.

“Secara adatnya mentaliti dan emosi lelaki Malaysia masih berpandangan bahawa dipukul atau mengaku dipukul isteri ialah sesuatu yang tidak munasabah. Walaupun dipukul, mereka akan dipandang lemah.

“Kes Johnny Depp akan menjadi satu kes yang menghiasi kes keganasan domestik namun tidak membawa sebarang impak,” katanya.

Tambah Ridhwan, penderaan terhadap lelaki lebih membabitkan aspek ekonomi, emosi dan seksual, sementara apa yang ditumpukan pada perbicaraan Depp lebih kepada penderaan fizikal.

Sharifah Fatimah menegaskan, kes tunggal yang menjadi bualan orang seperti kes Johnny Depp dan Amber Heard tidak bermakna ia harus menjadi piawaian kepada semua kes keganasan domestik kerana kes-kes tidak mempunyai dinamik sama.

“Hanya kerana ada satu wanita yang menipu tentang keganasan, tidak bermakna semua wanita akan menipu dalam kes ini.

“Peranan masyarakat secara umum, sama ada kita memberi sokongan sebagai ahli keluarga mangsa atau pembuat dasar, bertanggungjawab memastikan jika mangsa keganasan rumah tangga mencari sokongan atau bantuan, mereka akan dipercayai tanpa mengira latar belakang,” katanya.