- Iklan -
Berita

Lebih 140 rumah terjejas banjir kilat di Janda Baik

Hujan lebat bermula awal pagi tadi di sekitar Janda baik, Bentong turut menyebabkan tanah runtuh.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Tangkap layar suasana banjir kilat di Janda Baik pagi tadi.
Tangkap layar suasana banjir kilat di Janda Baik pagi tadi.

Hujan lebat berterusan sejak 3 pagi tadi mengakibatkan beberapa kawasan di Janda Baik, dekat Bentong dilanda banjir kilat dan mengalami tanah runtuh.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Bentong memaklumkan setakat 8 pagi, lebih 140 rumah di Kampung Sum-Sum, Kampung Lampin, Kampung Cheringin dan Kampung Pulau Santap dinaiki air.

“Tiada mangsa dilaporkan cedera,” katanya yang dihubungi.

Ketua Polis Bentong Zaiham Mohd Kahar berkata trend air kini menurun dan terdapat beberapa lokasi berlaku tanah runtuh, namun pelbagai pihak yang berkaitan telah berada di kawasan terbabit bagi mengawal keadaan.

Beliau berkata susulan tanah runtuh, jalan lama Bukit Tinggi-Genting Sempah telah ditutup namun jalan ke arah Janda Baik masih boleh dilalui kenderaan.

“Mangsa yang terlibat adalah penduduk tempatan dan tiada pusat pemindahan sementara dibuka buat masa ini,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan ANIH Berhad Radzimah Mohd Radzi dalam kenyataan memaklumkan laluan utama di KM68 arah ke Kuala Lumpur di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) masih selamat untuk digunakan, meskipun beberapa kawasan berhampiran dinaiki air.

“Sungguhpun hujan mula reda pada waktu ini, pihak ANIH Berhad sedang memantau paras air Sungai Bentong sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.