- Iklan -
Berita

Najib, Nazifuddin dapat kebenaran merayu kes cukai tertunggak

Bekas perdana menteri dan anaknya itu memohon kebenaran untuk memfailkan rayuan terhadap penghakiman terus yang diperoleh LHDN bagi mendapatkan lebih dari RM1.7 bilion tunggakan cukai daripada mereka.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Istana Kehakiman di Putrajaya yang menempatkan Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan. Gambar: AFP
Istana Kehakiman di Putrajaya yang menempatkan Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan. Gambar: AFP

Najib Razak dan anaknya Mohd Nazifuddin boleh merayu di Mahkamah Persekutuan berhubung penghakiman terus diperoleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam kes cukai tertunggak, masing-masing berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta.

Ini susulan keputusan sebulat suara panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang membenarkan Najib dan Mohd Nazufuddin sebagai pemohon merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu.

“Adalah keputusan sebulat suara kami bahawa keperluan Seksyen 96 (a) dan (b) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 telah dipenuhi dari segi Lampiran 1 (Usul untuk kebenaran merayu),” kata Tengku Maimun yang bersidang bersama hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan dan Mary Lim Thiam Suan.

Seksyen 96 (a) dan (b) akta itu menyatakan bahawa kebenaran hanya akan diberikan oleh Mahkamah Persekutuan atau Mahkamah Rayuan dalam kausa sivil yang melibatkan soal prinsip am yang diputuskan buat kali pertama atau persoalan kepentingan yang menjadi hujah lanjut dan keputusan Mahkamah Persekutuan adalah untuk faedah awam atau daripada apa-apa keputusan tentang kesan mana-mana peruntukan Perlembagaan termasuk kesahihan undang-undang bertulis yang berkaitan dengan peruntukan sedemikian.

Bekas perdana menteri dan anak lelakinya memohon kebenaran untuk memfailkan rayuan terhadap penghakiman terus yang diperoleh LHDN untuk mendapatkan lebih RM1.7 bilion tunggakan cukai daripada mereka.

Dua Mahkamah Tinggi telah membenarkan permohonan LHDN untuk mendapatkan penghakiman terus bagi memperoleh semula tunggakan cukai sebanyak RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta daripada Mohd Nazifuddin, bagi tempoh antara 2011 dan 2017.

Penghakiman terus adalah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Najib dan Mohd Nazifuddin gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan pada 9 Sept 2021 untuk mengetepikan penghakiman terus itu.

Mahkamah Rayuan bagaimanapun membenarkan permohonan mereka untuk menangguhkan perintah penghakiman terus itu sementara menunggu pendengaran permohonan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan.

Dalam kes sivil, pihak litigasi mesti mendapatkan kebenaran terlebih dahulu sebelum mereka boleh meneruskan rayuan mereka di Mahkamah Persekutuan.

Terdahulu, peguam Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib dan Nazifuddin berhujah bahawa tindakan LHDN itu berniat jahat dan jelas responden (LHDN) berusaha untuk memufliskan anak guamnya walaupun sebelum Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (PKCP) boleh mendengar merit pembelaan mereka terhadap taksiran cukai tambahan yang dikemukakan terhadap mereka.

LHDN diwakili oleh timbalan peguamcara hasil Hazlina Hussain manakala peguam Anand Raj dari Badan Peguam Malaysia bertindak sebagai “amicus curiae” atau sahabat mahkamah.

Sementara itu, seorang lagi peguam Najib dan Mohd Nazifuddin, Wee Yeong Kang ketika dihubungi berkata mereka akan memfailkan notis rayuan secepat mungkin.