- Iklan -
Berita

Syawal kembali bersinar buat 3 beranak penghuni rumah burung

Selepas liputan MalaysiaNow mengenai keadaan ibu tunggal dan dua anaknya, bantuan tidak putus diterima Hamidah daripada individu prihatin dan pihak berkuasa.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Wakil MAIPk menyantuni Hamidah dan dua anaknya di samping turut menyampaikan bantuan keperluan asas kepada Hamidah selepas kisahnya disiarkan MalaysiaNow.
Wakil MAIPk menyantuni Hamidah dan dua anaknya di samping turut menyampaikan bantuan keperluan asas kepada Hamidah selepas kisahnya disiarkan MalaysiaNow.

Bulan Syawal tahun ini mengembalikan sinar harapan kepada Hamidah dan dua anaknya yang sebelum ini menghuni sebuah rumah sarang burung walit di Sitiawan, Perak selepas diusir keluar beberapa tahun lepas.

Ibu tunggal itu memberitahu MalaysiaNow, dia telah menerima bantuan kewangan daripada beberapa pihak bagi kegunaan keluarganya.

“Ada individu yang menghubungi saya dan berkata dia tergerak hati untuk memberi bantuan.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat turut menyantuni saya dengan mengambil keterangan keadaan saya,” katanya kepada MalaysiaNow.

MalaysiaNow menyiarkan kisah hidupnya pada 3 Mei lalu, ketika umat Islam meraikan hari kedua Aidilfitiri.

Menurut Hamidah, banyak bantuan diterima daripada orang ramai termasuk dari Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

“Mereka memberikan bantuan RM500 dan barangan keperluan asas anak-anak.

“Selain itu, mereka juga akan menguruskan bayaran rumah sewa saya yang baru,” katanya.

Hamidah berkata, anak-anaknya tidak dapat menyorokkan kegembiraan apabila mengetahui mereka akan berpindah dari rumah burung itu.

“Mereka memang teruja dan sudah berangan memilih bilik masing-masing,” katanya.

Kegembiraan itu bertambah apabila Hamidah turut menerima tawaran bekerja di kantin sekolah salah seorang anaknya.

Ketika ini, Hamidah menampung kehidupannya dengan mengambil upah memetik hasil di sebuah ladang sayur-sayuran berdekatan rumah burung yang didiami mereka sekeluarga.

Selain itu, dia turut mendapat pendapatan dengan menjual besi buruk yang dikumpul.

Kadar upah sebanyak RM30 sehari diperolehinya dari ladang, sementara RM70 boleh diperolehinya hasil mengutip besi buruk.

Bagaimanapun, pendapatannya tidak menentu bergantung dengan keadaan keretanya yang semakin uzur.

Dalam pada itu, MAIPk dalam satu kenyataan maklum balas kepada MalaysiaNow memaklumkan telah menyalurkan bantuan persekolahan sebanyak RM400 kepada dua anaknya serta bantuan kewangan bulanan berjumlah RM500.

“Proses pemindahan penama dan anak-anak sedang dikenal pasti dengan kerjasama penghulu dan JKM bagi memindahkan penama dari rumah burung ke sebuah rumah sewa lebih selesa di sekitar Sitiawan dan berhampiran dengan sekolah anak-anaknya,” kata MAIPk.

Menurut MAIPk, sebelum ini, Hamidah telah menerima bantuan sekolah sebanyak RM400 dan bantuan hari raya MAIPk sebanyak RM250 pada tahun 2021 dan 2020.

Sebelum mendiami rumah burung di tengah ladang kelapa sawit itu, Hamidah menetap di Taman Cempaka sebelum diarahkan keluar oleh tuan rumah ketika tempoh pandemik ekoran tunggakan bil elektrik.

Hamidah berkata bantuan yang diterima kini menjadi pemangkin semangatnya untuk meneruskan kehidupan demi masa depan anak-anaknya.