- Iklan -
Berita

Selepas diusir, rumah burung jadi tempat berteduh tiga beranak

Hamidah dan dua anaknya kini tinggal di bangunan yang sebelum ini digunakan untuk menternak burung walit.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Hamidah menyapu sampah di luar kawasan bangunan yang menjadi tempat dia dan anak-anak berteduh di Sitiawan, Perak.
Hamidah menyapu sampah di luar kawasan bangunan yang menjadi tempat dia dan anak-anak berteduh di Sitiawan, Perak.

Bangunan berbentuk empat segi berwarna kelabu itu berdiri di celah-celah ladang kelapa sawit yang terletak di Sitiawan, Perak.

Ia kelihatan sama seperti bangunan yang menjadi rumah untuk penternakan burung walit.

Namun sejak tiga tahun lalu, ia tidak hanya sekadar sarang burung untuk diternak.

Di tingkat bawah, seorang wanita dan dua orang anaknya menjadikan bangunan itu sebagai rumah mereka.

Setiap pagi, wanita itu, Hamidah akan bangun pagi dan mengejutkan anaknya, Norfatin Asyikin untuk ke sekolah.

Setelah semua persiapan dibuat, dia akan menghantar anaknya yang bersekolah di darjah tiga sebelum memulakan kerja di sebuah ladang sayur berhampiran tempat tinggalnya.

Hamidah membantu anak perempuannya menyiapkan kerja sekolah di salah satu ruang yang ada dalam bangunan penternakan burung walit.

Menginjak ke tengah hari, Hamidah akan menyiapkan seorang lagi anaknya, Norfatin Nabilah yang bersekolah tingkatan dua pada sesi petang.

Jika ada waktu lapang, dia akan bersama-sama anaknya mengutip besi di kawasan berhampiran.

Dia juga akan meluangkan masa menangkap ikan di bendang berhampiran bersama anak-anaknya.

Ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama kali dilaksanakan, Hamidah diminta keluar dari rumah sewanya di Taman Cempaka, Sitiawan.

“Tuan rumah meminta kami mengosongkan rumah kerana dia tidak mahu sewakan lagi kepada saya.

“Saya berjumpa dengan kawan dan dia maklumkan ada tauke ladang mencari orang untuk jaga kawasan sarang burungnya kerana kerap ada kes pecah masuk.

“Selepas beberapa hari, saya masuk dan menetap di sarang burung ini sehingga hari ini,” katanya kepada MalaysiaNow.

Hamidah membilas bahan mentah untuk memasak di ruang dapur yang turut digunakan sebagai ruang makan, membasuh baju dan belajar.

Katanya, ruang yang didiaminya itu sudah lama kosong, kotor dan terbiar ketika dia pertama kali melangkah masuk.

Sedikit demi sedikit, dia mengusahakan untuk memperelokkan ruang itu demi anak-anaknya.

Kawasan bangunan sarang burung walit yang dipanggil rumah oleh Hamidah itu kelihatan daif.

Di luar, Hamidah membina ruangan dapur, tempat makan dan tempat mencuci pinggan.

“Saya gunakan kayu-kayu yang tauke bagi kepada saya,” katanya.

Kelihatan tempayan berisi air yang sudah lama bertakung di sebelah kiri.

Sampah sarap juga kelihatan tidak terurus.

Memasuki bahagian dalam, terdapat tiga bilik untuk setiap seorang, selain tandas untuk kegunaan keluarga itu.

Hamidah berkata, atas ihsan tuan pemilik bangunan itu, dia tidak perlu membayar apa-apa sewa namun harus membayar bil api dan air untuk kegunaan tiga beranak itu.

Anak keenam dari tujuh beradik itu sudah bertahun ditinggalkan suami.

Wanita itu membesarkan anak seorang diri dengan bekerja sebagai tukang cuci di Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebelum terpaksa mengambil keputusan berhenti kerja kerana tidak ketiadaan pengasuh yang mampu menjaga anaknya yang semakin membesar.

Dia yang berusia pertengahan 30-an itu mengutip sayur dengan kadar upah RM30 sehari.

Selain itu, dia membuat kerja-kerja lain seperti membersihkan kawasan sarang burung itu apabila diminta tauke.

Kelangsungan hidupnya ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

“Kereta saya baru ini rosak, susah sikit hendak ke kebun atau menghantar anak ke sekolah.

“Ketika itu saya berhenti mencari besi sementara menunggu kereta dibaiki. Buat masa ini saya pinjam motor seorang kenalan,” katanya.

Anak-anaknya menggunakan bilik mereka sebaik mungkin untuk tidur, belajar dan berehat.

“Saya bernasib baik kerana sekolah itu memperuntukkan bantuan buku teks dan lain-lain untuk mereka,” katanya.

Hamidah menggoreng telur untuk dua anaknya anak juadah berbuka puasa.

Walaupun jaringan internet di kawasan kelapa sawit itu tidak terjejas teruk, Hamidah mengakui cabaran anak-anaknya yang terpaksa berkongsi telefonnya untuk sesi pembelajaran dan pengajaran di rumah sepanjang penutupan sekolah.

Dia turut mendapat bantuan Kad Perak Prihatin yang membolehkannya membeli barangan runcit sebanyak RM250 sebulan.

Menjelang bulan Syawal, Hamidah berkata musim perayaan tidak membawa erti untuknya.

“Sama sahaja, tak pergi mana-mana pun. Keluarga yang lain jauh, cuma saya akan menziarahi rumah ibu saya di Taman Cempaka,” katanya.

Walaupun dihimpit kedaifan, katanya dia cuba sedaya upaya untuk menghidupkan suasana Hari Raya Aidilfitri.

Semasa raya tahun lepas, dia sempat menyiapkan juadah seperti rendang dan membeli ketupat untuk dinikmati anak-anaknya.

Seperti ibu yang lain, Hamidah tidak ingin melihat anak-anaknya membesar dengan persekitaran seperti yang dihadapi mereka sekarang.

Dia kini berusaha untuk mendapatkan bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak untuk rumah yang sedang dimohonnya.

Kehidupan yang serba kekurangan itu tidak sesekali melunturkan semangatnya untuk terus hidup.

Di celah-celah kebun sawit, ibu tunggal dua anak itu terus melangkah demi memastikan masa depan anaknya tidak malap ditelan kedaifan.