- Iklan -
Berita

Pemimpin nombor 2 Amanah sanggah presiden berhubung rundingan bersama Bersatu, PAS

Salahuddin Ayub berkata rundingan bersama antara Pakatan Harapan, Bersatu dan PAS perlu dibuat lebih awal.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub. Gambar: Bernama
Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub. Gambar: Bernama

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub menggesa pemimpin pembangkang termasuk Bersatu dan PAS bersama dalam rundingan “khemah besar” menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), menzahirkan pandangan berbeza daripada presiden parti itu Mohamad Sabu yang mahu Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) tidak dimasukkan dalam rundingan tersebut.

Salahuddin yang merupakan Naib Presiden Pakatan Harapan (PH) itu turut berkata pemimpin pembangkang perlu memaafkan dan melupakan perkara lalu bagi merealisasikan agenda khemah besar sebagai persediaan menghadapi PRU15.

“Kalau kita berjaya satukan pembangkang dengan satu persefahaman, ini akan menyebabkan kita akan mampu menang pada PRU15 nanti.

“Kalau kita tak capai kesepakatan kita akan hancur berkecai. Jadi saya harap kita dapat buat sesuatu dan Amanah sendiri sentiasa akan ambil sikap proaktif dan progresif untuk melakar satu politik baru yang kita akan lakukan secepat mungkin sebelum PRU15.

Tiga hari lalu pada 18 April, Mohamad berkata pendekatan “khemah besar” dalam gabungan PH adalah gabungan parti pembangkang dan tidak melibatkan parti-parti yang membentuk kerajaan bagi menghadapi PRU15.

“Pendekatan ‘khemah besar’ tidak merangkumi penyatuan atau kerjasama dengan parti-parti yang berada di dalam kerajaan sama ada Umno, Bersatu atau PAS.

“Tidak mungkin PH akan bekerjasama dengan pengkhianat yang jelas mengkhianati amanah dan mandat rakyat,” katanya.

Bagaimanapun Salahuddin berkata pembangkang perlu adakan satu persefahaman untuk memastikan keampuhan dalam berdepan BN sambil turut berkata perbincangan antara PH, Bersatu dan PAS perlu diadakan lebih awal.

“Jadi kita perlu duduk semeja fikirkan mengenai kesepakatan satu lawan satu daripada berpecah-belah.

“Kita boleh berbincang sekarang, untuk bertemu kita buka pintu kita seluas-luasnya dan keputusan tidak perlu dibuat ketika ini.

“Kita berjumpa berbincang dulu. Tak bolehlah dulu kita tak berkawan, sekarang pun nak teruskan permusuhan,” katanya.