- Iklan -
Berita

Peguam rayu Putrajaya selamatkan Nagaenthran menjelang hukuman mati pada 27 April

Banduan OKU itu akan menjalani hukuman gantung sampai mati walaupun kesnya mendapat kecaman antarabangsa.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Nagaenthran K Dharmalingam dijatuhkan hukuman mati di Mahkamah Tinggi Singapura pada 22 November 2010.
Nagaenthran K Dharmalingam dijatuhkan hukuman mati di Mahkamah Tinggi Singapura pada 22 November 2010.

Banduan bilik akhir warga Malaysia Nagaenthran K Dharmalingam akan menjalani hukuman mati di Singapura pada 27 April ini walaupun pelbagai usaha dilakukan dari dalam dan luar negara bagi mengelak hukuman tersebut.

Perkhidmatan Penjara Singapura memaklumkan tarikh pelaksanaan hukuman itu dalam surat kepada ibunya Panchalai Supermaniam, di mana keluarga dibenarkan melawat Nagaenthran setiap hari sehingga hari pelaksanaan hukuman.

Peguam hak asasi terkemuka Singapura yang mewakili Nagaenthran, M Ravi berkata satu-satunya langkah untuk menyelamatkan nyawanya adalah dengan Putrajaya membawa kes itu ke Mahkamah Antarabangsa.

“Saya dengan segala hormat menggesa kerajaan Malaysia memfailkan tindakan (undang-undang) ke Mahkamah Antarabangsa dan dapatkan penangguhan sementara,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Ini sahaja jalan yang boleh dilakukan untuk menyelamatkan Nagaenthran. Kerajaan Malaysia tidak boleh membazir lebih banyak masa mengenai perkara ini, tindakan perlu segera dilakukan bagi menyelamatkan Nagaenthran.”

Nagaenthran yang kini berusia 34 tahun ditahan pada 2009 kerana menyeludup sejumlah kecil heroin ke Singapura, sebuah negara yang mempunyai undang-undang paling keras di dunia berkait kesalahan dadah.

Dia dijatuhkan hukuman mati pada tahun berikutnya dan dijadualkan menjalani hukuman gantung pada November tahun lalu.

Kontroversi berhubung hukuman mati Nagaenthran timbul selepas dia didapati memiliki skor IQ 69 – menjadikannya orang kurang keupayaan (OKU) mental – sekali gus menyebabkan pelaksanaan hukuman ke atasnya tidak sah di bawah undang-undang Singapura selain turut melanggar perjanjian antarabangsa.

Nagaenthran dijadualkan menjalani hukuman gantung pada November tahun lalu di mana ia mencetuskan kritikan ekoran statusnya sebagai OKU.

Antara badan dan kenamaan yang mengkritik keputusan Singapura itu termasuk Kesatuan Eropah (EU) dan taikun syarikat penerbangan Britain, Richard Branson.
Pemimpin kerajaan Malaysia termasuk Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob turut menulis surat kepada pihak berkuasa Singapura bagi merayu hukuman Nagaentran diringankan.