- Iklan -
Berita

Kos lupus 273 babi dijangkiti ASF di Port Dickson cecah RM20,000

Operasi pelupusan melibatkan 55 petugas itu berakhir pada petang semalam.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi

Kos bagi kerja-kerja pelupusan semua 273 ekor babi yang dijangkiti penyakit Demam Babi Afrika (ASF) di sebuah ladang di Kampung Baru Tanah Merah Site A, Port Dickson, berjumlah RM20,000, kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Bakri Sawir.

Beliau berkata operasi pelupusan yang melibatkan 55 petugas itu berakhir pada pukul 5 petang semalam, dan pihaknya masih melakukan pengawasan rapi terhadap semua 19 ladang tidak berlesen yang berdekatan dengan kawasan ladang berkenaan kerana khuatir dengan penularan jangkitan.

“Sampel akan diambil mulai esok, dan keputusan akan diperoleh dalam masa 24 jam. Jika terdapat jangkitan ASF, pelupusan akan dilakukan dalam radius tiga kilometer dari lokasi jangkitan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis perasmian Program Outreach Konservasi Penyu Jabatan Perikanan Negeri Sembilan di Glory Beach Resort semalam.