- Iklan -
Berita

SPRM nafi tahan CEO isu rasuah RM2.3 bilion Petronas Carigali

Sebaliknya, seorang eksekutif muda Petronas Carigali ditahan bersama lapan lagi individu terdiri daripada pemilik, pegawai syarikat kontraktor serta vendor dikaitkan isu rasuah tersebut.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menahan sembilan individu bagi membantu siasatan isu rasuah RM2.3 bilion dalam Petronas Carigali. Gambar: Bernama
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menahan sembilan individu bagi membantu siasatan isu rasuah RM2.3 bilion dalam Petronas Carigali. Gambar: Bernama

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berkata pihaknya tidak menahan ketua pegawai eksekutif (CEO) sebaliknya seorang eksekutif muda Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) bagi membantu siasatan isu rasuah dalam syarikat tersebut.

Menurutnya, eksekutif muda itu ditahan bersama lapan lagi individu terdiri daripada pemilik dan pegawai kanan syarikat kontraktor serta vendor yang menjalankan projek dikaitkan dengan isu rasuah tersebut.

“SPRM ingin menjelaskan bahawa seorang daripada sembilan individu yang ditahan bagi membantu siasatan tersebut merupakan eksekutif muda (junior level executives) di PCSB dan bukannya ketua pegawai eksekutif seperti dakwaan segelintir pihak,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Menurut SPRM, siasatan tersebut merupakan hasil kerjasama dan perkongsian maklumat antara SPRM dan Petronas bagi membantu memperkukuhkan integriti di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berkenaan.

Terdahulu, SPRM mengumumkan penahanan seorang eksekutif muda PCSB yang merupakan antara sembilan individu yang ditahan SPRM bagi membantu siasatan isu rasuah membabitkan projek di PCSB.

Penahanan mereka bermula sejak Jumaat lepas selepas mahkamah majistret di Putrajaya dan Kuching, Sarawak membenarkan reman.

Menurut SPRM, siasatan kes rasuah itu berkait beberapa projek milik sebuah syarikat GLC dengan nilai kontrak dianggarkan melebihi RM2.3 bilion.

Kesemua mereka disyaki terlibat dalam perlakuan rasuah melibatkan projek GLC berkenaan antara 2017 hingga 2021.