- Iklan -
Berita

Juri mahkamah AS putuskan bekas pegawai Goldman bersalah kes rasuah babit 1MDB

Ng disabitkan bersalah bagi dua pertuduhan bersubahat melanggar undang-undang anti rasuah dan pengubahan wang haram.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas pegawai Goldman Sachs Roger Ng tiba di Mahkamah Persekutuan AS di  New York pada 8 Februari. Gambar: AFP
Bekas pegawai Goldman Sachs Roger Ng tiba di Mahkamah Persekutuan AS di New York pada 8 Februari. Gambar: AFP

Juri mahkamah AS memutuskan bekas pegawai bank Goldman Sachs Roger Ng bersalah bagi pertuduhan bersubahat melanggar undang-undang anti rasuah bagi membantu penyelewengan ratusan juta dolar dari 1MDB pada Jumaat.

Pendakwa raya berkata Roger Ng, bekas pegawai Goldman di Malaysia membantu bekas bosnya, Tim Leissner untuk menyelewengkan wang daripada syarikat itu dengan mengubah wang yang dicuri untuk menyuap pegawai kerajaan demi mendapatkan perniagaan bagi pihak Goldman.

Ng, 49 mengaku tidak bersalah bersubahat dalam aktiviti pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang anti rasuah di mana peguamnya berkata Leissner berbohong dalam usaha membabitkan Ng dengan skandal tersebut bagi mendapatkan hukuman ringan selepas mengaku bersalah bagi kesalahan sama pada 2018.

Pendakwa raya berkata Goldman membantu 1MDB mengumpul dana sebanyak AS$6.5 bilion melalui jualan tiga bon, namun sebanyak AS$4.5 bilion telah diselewengkan bagi menyuap pegawai kerajaan, bank dan rakan subahat mereka antara 2009 dan 2015.

Ng adalah individu pertama, dan mungkin menjadi satu-satunya individu terlibat skandal itu yang menghadapi perbicaraan di AS.

Pada 2020, Goldman telah membayar denda hampir AS$3 bilion dan cawangannya di Malaysia bersetuju untuk mengaku bersalah.

Penelitian juri mahkamah dimulakan pada Selasa selepas perbicaraan dijalankan selama dua bulan di mahkamah persekutuan Brooklyn.

Sepanjang sembilan hari perbicaraan, juri mendengar keterangan Leissner yang berkata beliau memindahkan sebanyak AS$35 juta kepada Ng sebagai sogokan.

Menurutnya, Ng bersetuju untuk memaklumkan kepada bank bahawa wang itu adalah hasil perniagaan yang sah antara isteri mereka berdua bagi menutup aktiviti haram mereka.

Isteri Ng, Lim Hwee Bin turut memberi keterangan bagi pihak pembelaan di mana dia mengatakan perniagaannya dengan isteri Leissner adalah sah.

Lim juga menjelaskan dia telah melabur sebanyak AS$6 juta pada pertengahan 2000-an dalam sebuah syarikat China dimiliki keluarga Judy Chan yang merupakan isteri Leissner ketika itu.

Menurut Lim, wang sebanyak AS$35 juta yang diterima Ng adalah hasil pulangan daripada pelaburan itu.

Ketika membentangkan hujah penutup pada Isnin, peguam Ng, Marc Agnifilo berkata bahawa Leissner adalah seorang yang tidak boleh dipercayai.

Namun peguam pendakwaan, Alixandra Smith menjawab keterangan Leissner mengenai aktiviti mereka berdua turut disokong oleh bukti lain.

Ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low yang masih bebas turut menjadi suspek utama dalam skandal tersebut.

Beliau didakwa bersama Ng pada 2018 bagi pertuduhan yang sama.