- Iklan -
Berita

Capital A saman MalaysiaNow berhubung artikel pinjaman Danajamin

Syarikat itu mendakwa penerbitan itu menyebabkan ia menanggung kerugian dan nama baiknya tercemar di mata orang awam selain mendedahkannya kepada cemuhan serta kebencian.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Ibu pejabat syarikat penerbangan tambang murah Air Asia di Sepang.
Ibu pejabat syarikat penerbangan tambang murah Air Asia di Sepang.

AirAsia Group Berhad, yang kini dikenali sebagai Capital A Berhad (Capital A), memfailkan saman fitnah terhadap wartawan dan ketua pegawai eksekutif sebuah portal berita berhubung penerbitan artikel mengenai pinjaman setengah bilion syarikat itu yang mendapat jaminan kerajaan.

Capital A selaku plaintif memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi menerusi Tetuan Steven Thiru; Sudhar Partnership pada 21 Mac lepas serta menamakan wartawan malaysianow.com Azzman Abdul Jamal, ketua pegawai eksekutif dan editor portal itu Abdar Rahman Koya dan syarikat Mnow Media Sdn Bhd sebagai defendan.

Pernyataan tuntutan Capital A mendakwa Azzman telah mengarang artikel itu yang didakwa mempunyai kenyataan fitnah dan ia kemudian diterbitkan oleh defendan kedua serta ketiga di laman sesawang malaysianow.com pada 24 Januari lepas.

Dakwa plaintif, kenyataan fitnah itu membawa maksud antaranya syarikat tersebut memperoleh pinjaman di bawah Skim Jaminan Prihatin Danajamin oleh Danajamin Nasional Berhad (Danajamin) hanya selepas pelantikan Nazir Razak sebagai Pengerusi Bank Pembangunan Malaysia Berhad dan bukan berdasarkan merit Capital A sendiri.

Danajamin adalah anak syarikat milik penuh Bank Pembangunan Malaysia.

Kenyataan fitnah itu juga didakwa membawa maksud kelulusan pinjaman tersebut adalah melalui cara yang tidak wajar atau tersembunyi serta diluluskan walaupun Capital A merupakan PN17 (kategori syarikat yang berdepan masalah kewangan) di bawah Bursa Malaysia dan ia berniat menggunakannya untuk tujuan selain daripada perkara berkaitan syarikat penerbangan.

Capital A mendakwa penerbitan artikel itu adalah palsu serta berniat jahat kerana ia memenuhi semua kriteria kelayakan untuk memperoleh jaminan pinjaman dan pinjaman tersebut akan digunakan secara khusus untuk menyokong kos kakitangan serta perbelanjaan operasi utama seperti penyelenggaraan pesawat.

Dakwanya, wang pinjaman sebenarnya belum dikeluarkan berikutan syarat lanjut yang dikenakan ke atas syarikat itu dan pada 10 Mac lepas, Capital A mengumumkan untuk tidak meneruskan pinjaman menerusi skim Danajamin.

Plaintif mendakwa penerbitan itu menyebabkan ia berdepan tekanan, menanggung kerugian, reputasi dan nama baik syarikat tercemar di mata orang awam selain mendedahkannya kepada cemuhan serta kebencian.

Oleh itu, plaintif memohon perintah agar defendan memohon maaf kepada plaintif di laman sesawang portal berkenaan dan platform media sosialnya yang relevan serta menurunkan penerbitan fitnah daripada laman sesawang tersebut dan media sosialnya.

Turut dimohon injunksi interim untuk menghalang defendan, pekerja serta ejennya menerbitkan semula kenyataan fitnah itu sementara menunggu keputusan saman selain menuntut ganti rugi am, teladan dan teruk, faedah pada kadar lima peratus setahun ke atas jumlah penghakiman sehingga tarikh penyelesaian, kos serta relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Seorang peguam daripada Tetuan Steven Thiru & Sudhar Partnership, yang mewakili plaintif ketika dihubungi Bernama, pula berkata tuntutan saman itu telah diserahkan kepada defendan dan pengurusan kes ditetapkan pada 26 April ini di hadapan timbalan pendaftar Azlinda Ahmad Sharif.