- Iklan -
Berita

Kecuaian di Parlimen bertukar jadi drama politik

Pandangan kini tertumpu kepada MoU antara Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan pembangkang sementara 'kluster mahkamah' meningkatkan asakan untuk PRU15 diadakan.

MalaysiaNow
4 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat semasa pengundian rang undang-undang kerajaan mengenai Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 yang dikalahkan oleh 86 undi ahli Parlimen pembangkang berbanding 84 undi menyokong. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat semasa pengundian rang undang-undang kerajaan mengenai Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 yang dikalahkan oleh 86 undi ahli Parlimen pembangkang berbanding 84 undi menyokong. Gambar: Bernama

Kecuaian yang berlaku di Dewan Rakyat sehingga menyaksikan ahli Parlimen kerajaan termasuk anggota Kabinet tidak hadir untuk mengundi rang undang-undang (RUU) yang dibentangkan oleh menteri dalam negeri kini mulai bertukar menjadi drama politik, melibatkan dua persefahaman yang ditandatangani Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob melibatkan dua kem yang bertentangan.

Semalam, RUU kerajaan mengenai Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 tidak diluluskan di Dewan Rakyat selepas ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) mengundi untuk menentangnya.

Pengundian tersebut dilaksanakan ketika hampir semua pemimpin utama dari blok kerajaan termasuk Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan GPS tidak hadir di Dewan Rakyat, memberikan laluan kepada ahli Parlimen pembangkang mengumpul jumlah undi yang berjaya menggagalkan RUU itu untuk diluluskan.

Sumber rapat dengan beberapa pegawai pemimpin kerajaan mempersoalkan apa yang disifatkan sebagai kegagalan komunikasi sehingga menyebabkan ramai ahli Parlimen tidak dimaklumkan berhubung pengundian tersebut, di mana sekurang-kurangnya dua daripada mereka mengatakan tidak dimaklumkan untuk hadir di Dewan Rakyat bagi satu sesi pengundian.

“Biasanya kami akan diberi taklimat, tetapi kali ini, nampaknya terdapat salah faham.”

Sumber DAP memberitahu MalaysiaNow pembangkang tidak menjangka akan dapat mengalahkan kerajaan ketika pengundian RUU tersebut, satu kejadian yang jarang berlaku di Parlimen Malaysia.

“Blok ahli Parlimen kerajaan yang sebahagian besarnya tidak hadir memberikan laluan kepada kemenangan kami ini.”

Bagaimanapun, susulan penolakan RUU tersebut, perkara yang dibincangkan lebih tertumpu kepada memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara PH dan Ismail pada September tahun lepas, di mana ahli Parlimen pembangkang memberikan jaminan mereka akan menyokong atau berkecuali dalam pembentangan RUU daripada kerajaan dan sebagai tukarannya, senarai “transformasi” yang diperjuangkan pembangkang akan dilaksanakan.

Tindakan mengundi untuk menentang RUU itu semalam disifatkan sesetengah pihak sebagai pelanggaran terhadap MoU, di mana ia dilihat boleh menyebabkan Ismail tidak mempunyai pilihan selain tunduk kepada tekanan daripada pemimpin “kluster mahkamah” dalam Umno untuk membubarkan Parlimen sekali gus membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan lebih awal.

Kluster mahkamah diketuai bekas perdana menteri Najib Razak dan presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi di mana kedua-duanya berdepan pelbagai pertuduhan rasuah yang jika disabitkan boleh menyebabkan mereka berdepan hukuman penjara serta dilarang untuk berpolitik.

Tahun lalu, lebih sepuluh ahli Parlimen Umno yang bersekutu dengan kedua-dua pemimpin itu menarik sokongan terhadap perdana menteri pada ketika itu, Muhyiddin Yassin.

Tindakan mereka itu dianggap sebagai tindak balas terhadap keengganan presiden Bersatu itu campur tangan dalam perbicaraan mereka untuk membantu pemimpin kluster mahkamah.

Tindakan ahli-ahli Parlimen Umno itu juga turut mengakibatkan kerajaan PN tumbang walaupun sesetengah pemimpin PH memberikan amaran ia akan menaikkan kerajaan pimpinan Umno yang bertanggungjawab kepada kluster mahkamah.

Tidak mahu mengalami nasib yang serupa, naib presiden Umno yang menjadi perdana menteri selepas mendapat sokongan Muhyiddin dan kira-kira 50 ahli Parlimen PN yang lain kini berdepan cabaran sukar.

Difahamkan, sokongan Muhyiddin kepadanya bergantung kepada beberapa perkara, salah satu daripadanya adalah berhubung tarikh PRU15 yang mesti ditentukan oleh Ismail selepas berunding dengan PN.

Sejak memegang jawatan nombor satu itu, beliau berusaha untuk mengukuhkan kedudukannya dengan memberikan tawaran jaminan untuk memenuhi beberapa tuntutan PH, sebagai pertukaran sokongan daripada gabungan pembangkang di mana mereka tidak akan mengganggu RUU kerajaan seperti belanjawan.

Bagaimanapun, tindakan pembangkang untuk menentang RUU kerajaan semalam mengancam kedudukan Ismail kerana ada yang melihatnya sebagai pelanggaran PH terhadap MoU yang termeterai.

Selepas pengundian semalam, Annuar Musa yang dilihat sebagai salah seorang pemimpin Umno yang menentang gesaan kluster mahkamah untuk PRU15 diadakan lebih awal, turut menggesa Ismail untuk membubarkan Parlimen, mengatakan PH melanggar semangat MoU bersama perdana menteri kerana menentang RUU mengenai Sosma.

Namun pemimpin PH termasuk pengerusinya, Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tiada pelanggaran terhadap MoU tersebut.

Sementara DAP pula berkata, ahli Parlimen PH hanya dijangka menyokong atau berkecuali bagi RUU kerajaan berkaitan belanjawan dan setakat ini kerana ia memberi kesan kepada kedudukan Ismail sebagai perdana menteri.

Tetapi, sumber dari PKR memberitahu MalaysiaNow terdapat perbincangan sama ada tindakan menolak RUU mengenai Sosma semalam akan memakan diri mereka sendiri.

“Jika ini dilihat sebagai melanggar MoU dan memberi alasan untuk Ismail membubarkan Parlimen, maka kebimbangannya ialah kekalahan besar yang bakal ditanggung PH dalam pilihan raya di mana peratusan keluar mengundi dan sentimen kelihatan tidak menyebelahi kami,” kata sumber yang ditugaskan untuk menjayakan pemeteraian MoU antara PH dan Ismail tahun lalu.

MoU yang ditandatangani bersama PH tersebut antara lain menyatakan bahawa Ismail tidak akan mengumumkan PRU sebelum 31 Julai tahun ini.

Penangguhan PRU15 dilihat memberikan kelegaan kepada PH ketika jangkaan meluas mengatakan gabungan itu akan kalah teruk jika ia diadakan sebelum mandat pentadbiran penggal ini tamat pada Mei 2023.

Satu lagi sumber yang mengetahui tentang pemeteraian MoU itu turut memberitahu MalaysiaNow tindakan pemimpin PH untuk meningkatkan tekanan ke atas Ismail mengenai isu-isu seperti RUU anti lompat parti yang bakal menyekat ahli Parlimen menukar parti boleh menyebabkan kerugian kepada gabungan itu.

“Ancaman terbesar kepada PH sekarang ialah PRU dan sikap tidak ambil peduli pengundi. Dan prestasi buruk di Melaka dan Johor, terutama untuk PKR, apatah lagi dalam PRN Sarawak, hanya mengesahkan kebimbangan seperti itu,” tambah sumber PKR itu.

Minggu lalu, Ismail secara diplomatik menolak gesaan dalam Perhimpunan Agung Umno supaya Parlimen dibubarkan.

Yakin BN akan bangkit semula akibat sikap tidak ambil peduli pengundi, Najib dan Zahid meningkatkan desakan supaya PRU15 diadakan, dengan harapan ia dapat meningkatkan peluang mereka untuk mengelak daripada tindakan undang-undang dengan penubuhan kerajaan yang dikawal mereka berdua.

Najib berdepan hukuman 12 tahun penjara selepas disabitkan bersalah menyelewengkan RM42 juta dana SRC International, menyebabkan beliau hilang kelayakan untuk bertanding pada pilihan raya akan datang.

Sementara itu, keputusan bagi perbicaraan rasuah Zahid juga dijangka akan diputuskan tahun ini.

Muhyiddin dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad juga sebelum ini berkata Zahid pernah mendekati mereka semasa menjadi perdana menteri dengan harapan dua pemimpin itu membantunya dalam usaha menggugurkan pertuduhan yang dihadapinya di mahkamah.