- Iklan -
Berita

Onn Hafiz dilantik MB baru Johor

Adun Machap itu mengangkat sumpah di Istana Bukit Serene hari ini.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Onn Hafiz Ghazi ketika mengangkat sumpah di hadapan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene hari ini. Gambar: Facebook
Onn Hafiz Ghazi ketika mengangkat sumpah di hadapan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene hari ini. Gambar: Facebook

Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Onn Hafiz Ghazi hari ini mengangkat sumpah sebagai menteri besar Johor ke-19 selepas mendapat perkenan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene.

Semalam, beliau diuar-uarkan menjadi menteri besar selepas Hasni Mohammad semalam mencadangkan golongan muda dipilih bagi mengetuai kerajaan negeri yang baru.

“Melihat sokongan dan kedudukan orang muda yang penting dalam pembangunan negeri Johor, dan demi kemakmuran negeri yang berpanjangan, saya mencadangkan agar pucuk pimpinan parti memilih orang muda untuk memimpin negeri Johor,” katanya.

Sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor minggu lalu, Hasni diumumkan oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebagai calon menteri besar Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, ketika Zahid mengadap Sultan Ibrahim semalam bagi menyampaikan nama calon menteri besar BN, Adun Benut itu mengeluarkan kenyataan untuk memberikan tampuk pentadbiran kepada golongan muda.

Onn mewakili BN berdepan pertandingan empat penjuru di Machap menentang calon Pejuang Shahruddin Md Salleh, Perikatan Nasional diwakili Azlisham Azhar dan calon Muda, Sangaran Rawisandran.

Beliau merupakan Adun Layang-Layang selepas memenangi pertandingan tiga penjuru pada PRU14.

Ketika pentadbiran Hasni, Onn dilantik sebagai exco pelancongan, belia dan sukan.

BN menang besar pada PRN Johor ke-15 Sabtu lalu, di mana gabungan itu memenangi 40 dari 56 kerusi DUN.

Ia merupakan kemenangan PRN kedua gabungan itu selepas Melaka akhir tahun lalu.