- Iklan -
Berita

Ismail tepis gesaan kumpulan kecil penyokong untuk bubarkan Parlimen

Perdana menteri itu berkata PRU15 hanya akan diadakan apabila pelbagai aspek dan pihak berkaitan sudah bersedia.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob di bilik gerakan Barisan Nasional semalam.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob di bilik gerakan Barisan Nasional semalam.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hanya akan diadakan apabila pelbagai aspek dan pihak berkaitan sudah bersedia, di mana beliau dilihat menepis desakan penyokong Barisan Nasional (BN) supaya Parlimen dibubarkan susulan kemenangan gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam.

“Sedia atau tidak, biar kepimpinan parti yang tentukan. Banyak lagi perkara yang perlu dilihat. Setiap keputusan akan dibincangkan dalam parti. Tidak boleh ada satu kumpulan kecil yang mahukan PRU, maka kita buat. Ini (PRU) perkara besar, kena dibincangkan.

“Selain itu, ada prosedurnya. Saya kena menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan, dan kalau diperkenankan maka bolehlah (pilihan raya) diadakan. Jadi tunggu masa yang sesuai,” katanya kepada pemberita di Bera, Pahang hari ini.

Ismail merujuk gesaan penyokong gabungan itu semalam yang melaung “bubar Parlimen” sejurus kemenangan BN diumumkan semalam.

Gabungan itu memenangi 40 kerusi dari 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ia merupakan kemenangan kedua BN pada PRN selepas Melaka dan dilihat sebagai sebahagian daripada usaha bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas timbalannya Ahmad Zahid Hamidi untuk memperkukuhkan kedudukan Umno menjelang PRU15.

Berhubung memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatanganinya bersama Pakatan Harapan bagi meredakan suhu politik September lepas, Ismail berkata masih terlalu awal untuk beliau menyatakan “masa depan” perjanjian itu yang akan tamat pada 31 Julai ini.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.