- Iklan -
Berita

Motac ambil tindakan tegas pengusaha pelancongan ulangi kesalahan langgar SOP

Menurut Motac, baru-baru ini, dua notis pemeriksaan dan lima surat tunjuk sebab dikeluarkan kepada syarikat-syarikat pengusaha pelancongan yang didapati melanggar SOP.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pelancong bersiar dan beriadah bersama keluarga di sekitar Pantai Cenang di Langkawi selepas kerajaan membenarkan aktiviti pelancongan di bawah program rintis gelembung pelancongan di pulau itu. Gambar: AFP
Pelancong bersiar dan beriadah bersama keluarga di sekitar Pantai Cenang di Langkawi selepas kerajaan membenarkan aktiviti pelancongan di bawah program rintis gelembung pelancongan di pulau itu. Gambar: AFP

Syarikat pengusaha pelancongan yang didapati berulang kali melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), boleh dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).

Motac dalam kenyataan hari ini mengingatkan syarikat pengusaha pelancongan supaya sentiasa mematuhi SOP agar Pelan Pemulihan Negara dapat dilaksanakan dengan lancar.

Menurutnya baru-baru ini dua notis pemeriksaan dan lima surat tunjuk sebab dikeluarkan kepada syarikat-syarikat pengusaha pelancongan yang didapati melanggar SOP.

Surat dan notis itu dikeluarkan hasil pemantauan serta penguatkuasaan Motac di Pulau Langkawi mulai 21 hingga 23 Februari dan di pintu masuk antarabangsa (PMA) negara pada 25 Februari dan 8 Mac lepas.

Kenyataan itu memaklumkan selaras dengan keputusan kerajaan untuk membuka sempadan negara dan Fasa Peralihan ke Endemik bermula 1 April ini, pasukan penguatkuasaan Motac telah memperkukuh kesiapsiagaan agar Keluarga Malaysia dan pengembara luar selesa menikmati pakej pelancongan dikendalikan pengusaha pelancongan berlesen.

Menurut Motac di bawah SOP Gelembung Pelancongan Antarabangsa Pulau Langkawi (LITB) yang dilaksanakan mulai 15 November 2021, antara penekanan SOP adalah syarikat pelancongan berlesen menyediakan perkhidmatan pemandu pelancong dengan maksimum 20 orang dalam kumpulan lawatan, bagi tujuan penyelarasan sepanjang itinerari lawatan.

Sementara itu SOP perjalanan mengerjakan aktiviti umrah yang dikemas kini pada 17 Februari lepas pula menetapkan supaya syarikat pengendali umrah perlu melantik Person In Charge (PIC) bagi kumpulan yang mempunyai 40 jemaah dan ke atas, menurut kenyataan itu.

Menurutnya PIC bertujuan untuk mengawal dan mengelola jemaah sepanjang perjalanan, termasuk semasa di lapangan terbang atau di PMA Malaysia, dan bagi kumpulan yang kurang dari 40 jemaah, PIC perlu menguruskan jemaah di PMA.