Calon PN di Semarang berbahasa Mandarin dekati pengundi Cina
Shazani Abdul Hamid menggunakan kelebihannya untuk memecahkan tembok komunikasi dengan pengundi Cina di Ayer Hitam.
Terkini
Program kempen rumah ke rumah oleh calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semarang dari Perikatan Nasional (PN) Shazani Abdul Hamid di pekan Ayer Hitam mendapat sambutan hangat terutama daripada masyarakat Cina.
Rahsianya? Shazani fasih bertutur dan berkomunikasi dalam Mandarin.
Kehadirannya ketika berkempen di kawasan itu ditunggu penduduk dengan sapaan dan senyuman.
Berusia 31 tahun, Shazani sudah pun berkahwin dan mempunyai seorang anak.
Beliau mendapat pendidikan awal di SJK (C) Malayan, Ayer Hitam sebelum menyambung persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Menteri di daerah yang sama.
Shazani yang mesra disapa Nani memberitahu, beliau dapat merasakan satu kepercayaan daripada pengundi-pengundi Cina selepas mereka mendapati dirinya berkebolehan berkomunikasi dalam Mandarin.
“Di kawasan kampung sini, ada segelintir masyarakat Cina yang tidak fasih cakap bahasa Melayu. Selalunya, mereka tunggu anak-anak yang lebih berpendidikan untuk bantu terangkan kepada mereka.
“Bila saya berkomunikasi dengan mereka dalam Mandarin, mereka jadi yakin untuk bercerita tentang isu-isu yang mereka hadapi,” katanya ketika ditemui MalaysiaNow selepas kempen rumah ke rumah di Kampung Sawah Sagil.

Malah, kata Nani, selain menceritakan tentang masalah yang dihadapi, mereka juga turut menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pemimpin-pemimpin politik yang kotor terutamanya terpalit kes rasuah dan disabit hukuman di mahkamah.
“Kebimbangan mereka setakat ini, isu ekonomi. Mereka terjejas teruk. Mereka juga tak mahu lagi pemimpin rakus yang tidak boleh menjaga ekonomi mereka.
“Mereka juga gembira dengan calon-calon muda. Bagi mereka bagi kalau kedepan kan calon muda tanpa mengira kaum.”
Pengundi Cina mewakili kira-kira 13% daripada lebih 27,000 pengundi di DUN Semarang.
Nani berdepan cabaran empat penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan tiga lagi calon dari Pejuang, Barisan Nasional (BN) dan PKR.
Calon BN di DUN Semarang Samsolbari Jamali
merupakan setiausaha Umno Johor dan penyandang kerusi itu selama empat penggal.
Subhead: Kepimpinan Bersatu pendorong untuk terlibat aktif dalam politik
Ketika ditanya bagaimana mula berminat menceburi bidang politik, beliau berkata ahli keluarganya mendaftar sebagai ahli Bersatu selepas kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Mengakui bahawa beliau dan keluarganya meminati kepimpinan pengasas Bersatu Muhyiddin Yassin dan Dr Mahathir Mohamad yang turut sama menerajui parti tersebut ketika itu.
Katanya, bukan sahaja sebagai parti baru, pimpinannya juga mempunyai rekod bersih dan lantang membanteras kegiatan rasuah dalam pentadbiran negara.
Selain itu, kata Nani, ahli keluarganya rapat dengan bekas menteri besar Johor Osman Sapian dan turut mengenali penyandang kerusi DUN Semarang, Samsolbari.
“Dulu arwah Datuk Osman yang sokong saya masuk politik. Dia suka. Dia banyak jadi pendorong saya untuk lakukan semua ini.
“Calon BN pun saya kenal. Arwah ayah saya pun kenal. Sebab itu, orang di sini gelarkan saya dan Datuk Samsolbari macam atuk lawan cucu,” katanya dan menambah ayahnya meninggal dunia dua hari selepas pemergian Osman.
Pengajian ijazah sarjana bukan penghalang
Kini, Nani sedang melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda secara jarak jauh dalam bidang pengurusan perniagaan dan pemasaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pasir Gudang.
Meskipun begitu, beliau sudah bersedia untuk memberikan khidmat dan menumpukan perhatian kepada isu-isu setempat sekiranya dipilih pada PRN Johor kali ini.
“Saya dan pasukan sudah pun membuat perancangan A, B dan C untuk kawasan ini. Apa nak buat dan sebagainya.
“Malah, waktu kempen lagi media sosial saya sudah dihubungi untuk mendapatkan bantuan. Jadi, saya dan pasukan cepat-cepat maklumkan kepada pihak parti untuk tindakan seterusnya.
“Sebab kita calon kan, jadi kita bagi kepada mereka yang terus boleh salurkan bantuan. Kita pun tahu, Tan Sri (Muhyiddin) memang selalu cakna berkenaan perkara ini.”
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
