- Iklan -
Berita

Label pengundi PN berpendidikan rendah hujah kurang cerdik, kata penganalisis

Penganalisis berpandangan hujah itu tidak wajar kerana Malaysia mengamalkan sistem demokrasi yang mana setiap pengundi berhak memilih parti yang dirasakan wajar mewakili mereka.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Pengundi muda beratur menunggu giliran untuk masuk ke bilik pengundian di Sekolah Rendah Agama Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru pada 19 November 2022.
Pengundi muda beratur menunggu giliran untuk masuk ke bilik pengundian di Sekolah Rendah Agama Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru pada 19 November 2022.

Tindakan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail melabelkan pengundi yang memilih parti politik lawan sebagai golongan berpendidikan rendah adalah tidak wajar dan merupakan satu hujah yang kurang cerdik, kata penganalisis politik, Jeniri Amir.

Felo kanan Majlis Profesor Negara itu berkata, ini kerana Malaysia mengamalkan sistem demokrasi yang mana setiap pengundi berhak memilih parti yang dirasakan wajar mewakili mereka.

Sebelum ini, Saifuddin melabelkan golongan muda yang menyokong dan menyumbang undi kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November tahun lepas, tidak mempunyai pendidikan tinggi dan tiada pendapatan tetap dalam kehidupan.

Pada masa sama, pemimpin PKR itu juga menyatakan pengundi muda yang mempunyai pendapatan stabil dan berpendidikan yang lebih tinggi akan cenderung menyokong Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin Anwar Ibrahim.

Beliau mendakwa, hal ini dibuktikan melalui dapatan kajian yang dilakukan oleh PH selepas PRU15.

"Ini adalah satu generalisasi," kata Jeniri kepada MalaysiaNow.

"Adakah ini bermaksud hanya menyokong satu parti 'itu' cerdik, pintar atau orang yang kewarasan tetapi bila (pilih) parti lain bermaksud tidak waras?"

Ditanya sekiranya mungkin Saifuddin tersalah cakap dan merujuk kepada golongan luar bandar, Jeniri menegaskan hujah itu juga tidak boleh diterima memandangkan ia turut dikategorikan sebagai kenyataan yang generalisasi.

Katanya, golongan yang menetap di luar bandar juga tidak bermaksud mereka kurang cerdik berbanding golongan yang menetap di bandar.

"Nak maksudkan pengundi luar bandar kurang bijak pun tidak boleh.

“Apabila berkata begitu, ini ibarat menghina mereka," tambah beliau.

PRU15 menyaksikan PN membuat kejutan apabila berjaya meraih sebanyak 74 kerusi Parlimen dengan PAS merekodkan jumlah kerusi tertinggi.

Keputusan itu juga menyaksikan PN menyapu bersih di Kelantan, Terengganu dan Perlis serta meraih kerusi terbanyak di Kedah dan Pahang yang merupakan negeri kubu kuat Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Dalam pada itu, Jeniri berpandangan kenyataan yang dibuat Saifuddin itu mungkin akan menimbulkan kemarahan sebahagian daripada masyarakat.

Akan tetapi katanya, pengundi pastinya akan mengambil kira pelbagai faktor sebelum memilih calon pilihan mereka dan kenyataan sebegini disifatkan tidak cukup untuk mengubah keputusan mereka.

"Nak kata kenyataan itu boleh jejaskan pola pengundian pun tidak berasas juga," tambah beliau.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.