- Iklan -
Berita

Penganalisis jelaskan mengapa matlamat sama tidak dapat satukan Bersatu dan Pejuang di Johor

Mereka berkata kedua-dua parti itu sukar untuk bekerjasama walaupun ia akan menyebabkan undi kepada mereka berpecah.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Bendera Perikatan Nasional dan Pejuang mewarnai kawasan Felda di Johor sempena kempen PRN yang akan diadakan pada 12 Mac depan.
Bendera Perikatan Nasional dan Pejuang mewarnai kawasan Felda di Johor sempena kempen PRN yang akan diadakan pada 12 Mac depan.

Walaupun parti-parti politik seperti Bersatu dan Pejuang mempunyai persamaan dalam agenda seperti mahu menghalang kumpulan kluster mahkamah Umno pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, namun penganalisis berkata sebarang kerjasama antara mereka sukar dilakukan, walaupun dalam berdepan seteru politik yang sama seperti bekas perdana menteri Najib Razak.

Najib yang tumbang dari tampuk pentadbiran kerajaan pada pilihan raya umum (PRU) 2018 dan disabitkan bersalah kerana jenayah rasuah pada 2020, menjadi sasaran serangan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, tanpa kerjasama, kedua-dua parti itu sukar untuk mengalahkan Umno dan Barisan Nasional (BN) kerana undi kepada mereka berpecah.

Seorang penganalisis politik Melayu berkata, antara yang menyukarkan kedua-dua parti itu untuk bekerjasama ialah disebabkan keegoan pemimpin Pejuang.

Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia (UUM) menyifatkan pimpinan Pejuang sepertinya masih terbuai oleh kegemilangan lalu era pentadbiran Mahathir.

Katanya, sudah terbukti bekas perdana menteri itu tidak lagi mempunyai pengaruh besar dalam arena politik tanah air.

“Contohnya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada 15 Ogos, 2020, calon bebas yang diletakkan oleh Pejuang, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, hanya beroleh 2,115 undi sahaja berbanding undi calon BN Mohd Zaidi Aziz dengan 13,060 undi,” katanya kepada MalaysiaNow.

Atas sebab itu, katanya, beliau tidak terkejut sekiranya majoriti daripada 42 calon Pejuang dalam PRN Johor akan kehilangan wang deposit masing-masing disebabkan perkiraan tidak rasional pimpinan parti itu dalam cubaan mencatur politik negara.

Dalam PRN Johor, Bersatu bersama-sama gabungan Perikatan Nasional (PN) bertanding di 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Manakala Pejuang secara bersendirian bertanding di 42 kerusi DUN.

Kamarul menambah, sekiranya pimpinan Pejuang berfikir secara rasional, sepatutnya mereka mengambil keputusan untuk bergabung dengan parti lain yang mempunyai aspirasi yang sama khususnya Bersatu yang disifatkan sebagai luaran dan dalamannya mempunyai ciri-ciri yang sama dengan parti itu.

“Tetapi disebabkan rasa besar diri dan dendam kerana Muhyiddin Yassin tidak mengikut beliau supaya tidak bekerjasama dengan Umno pada Februari 2020 dahulu, maka ruang untuk bekerjasama (lagi) mereka tutup,” katanya.

Muhyiddin dan Mahathir menubuhkan Bersatu pada 9 September, 2016 ketika kemuncak krisis 1MDB semasa era pentadibiran Najib.

Kedua-dua Muhyiddin dan Mahathir tidak sehaluan selepas Langkah Sheraton yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang selepas 22 bulan memerintah.

Selepas itu, Mahathir dan beberapa ahli Parlimen Bersatu digugurkan keahlian dan menubuhkan Pejuang yang akan bertanding buat pertama kali pada PRN Johor kali ini.

Pejuang dan Bersatu akan bertembung di kebanyakan kerusi dalam PRN Johor kali ini.

Selepas PRN Johor keadaan akan berbeza

Menurut Kamarul, selepas kekalahan teruk dalam PRN Johor pada 12 Mac ini akan menyedarkan Pejuang dari lena yang panjang serta mula mencari-cari “kawan” untuk bekerjasama.

Sementara itu, Shamsul Amri Baharuddin dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tidak bersetuju dengan penggunaan istilah “kerjasama”.

Baginya, kedua-dua parti itu saling “bekerjasama” menentang apa yang mereka percaya tidak benar dan tidak patut berlaku.

Tetapi, bentuk kerjasama yang diimpikan oleh sesetengah pihak tidak tercapai mengambil kira faktor taat setia pengikut-pengikut parti terhadap pemimpin masing-masing.

“Ada yang sayangkan Mahathir, ada yang sayang Muhyiddin,” katanya kepada MalaysiaNow.

Selain itu, beliau menjelaskan kepentingan dan pendirian pemimpin-pemimpin parti juga berbeza meskipun dilihat membawa naratif yang sama seperti menjaga kepentingan orang Melayu, hak sama rata kepada semua kaum dan memperkasa ekonomi.

Katanya, sejarah sudahpun membuktikan kerjasama politik sememangnya boleh berlaku tetapi hanya bersifat sementara disebabkan perbezaan pendirian dan kepentingan bagi parti-parti politik.

Beliau menyorot kembali sejarah penubuhan Umno pada tahun 1946 yang dikatakan berjaya mewujudkan satu landasan yang menyatukan kepentingan beberapa pihak.

Ini termasuk perjuangan menentang Malayan Union, melindungi golongan elit seperti raja-raja Melayu dan kepentingan golongan bawahan seperti masyarakat Melayu di kampung-kampung.

Dan ketika itulah, katanya, satu pertemuan yang melibatkan beberapa kepentingan berbeza dapat disatukan.

“Kelompok-kelompok yang (mempunyai) kepentingan berbeza tapi akhirnya menemui satu landasan atau tapak integrasi saya panggil. Tapak integrasi inilah yang menyatukan mereka sementara.

“Jadi, kenapa tadi saya kata sementara? Sebab di dalamnya ada personaliti-personaliti yang mempunyai minat dan kedudukan yang berbeza,” katanya sambil menambah kepentingan peribadi personaliti-personaliti dalam Umno semakin meningkat selepas pengasasnya Onn Jaafar meninggalkan parti itu.

“Tunku Abdul Rahman lawan dengan Onn. Onn pula nak parti dibuka kepada bukan Melayu. Jadi, perjuangan (parti) sebenarnya satu perjuangan ideologi atau pendirian pemimpin masing-masing.”