- Iklan -
Berita

Bodohnya Najib, kata Dr Mahathir berhubung hutang 1MDB

Dr Mahathir berkata Najib sudah tidak mempunyai rasa malu apabila membuat kenyataan sedemikian rupa mengenai hutang 1MDB tersebut.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad ketika berucap di Machap, Johor sempena kempen PRN hari ini.
Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad ketika berucap di Machap, Johor sempena kempen PRN hari ini.

Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad menyelar kenyataan Najib Razak dalam Dewan Rakyat semalam mengenai hutang 1MDB yang dikatakan tidak menggunakan wang rakyat.

Katanya, Najib yang sudah dijatuhi hukuman bersalah berhubung kes SRC International sudah tidak mempunyai rasa malu apabila membuat kenyataan tersebut.

“Dia kata hutang tak perlu dibayar, bodohnya. Adakah hutang tak perlu bayar? Tapi Najib begitulah,” katanya ketika berucap semasa berkempen di Felda Ayer Hitam di Machap, Johor hari ini.

Kenyataan Mahathir itu menyusul selepas Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz yang menafikan kenyataan Najib hari ini.

Menurut Zafrul, Malaysia sudah mula membayar faedah daripada hutang 1MDB.

Zafrul memaklumkan nilai hutang 1MDB adalah sebanyak RM38.8 bilion merangkaumi RM32.3 hutang prinsipal dan faedah sebanyak RM6.5 bilion.

Najib semalam mendakwa satu sen duit rakyat pun tidak digunakan untuk membayar hutang 1MDB.

Walaupun sudah dijatuhkan bersalah dalam kes SRC International, ahli Parlimen Pekan itu masih menjadi tumpuan kempen Mahathir untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Sebelum ini, Mahathir meminta rakyat Johor menolak Najib dan Barisan Nasional (BN) dalam surat terbukanya kepada pengundi di negeri selatan tanah air itu.

Pengerusi Pejuang itu menegaskan kejayaan menukar kerajaan negeri Johor mampu menjadi batu loncatan untuk menukar kerajaan persekutuan pada pilihan raya umum akan datang.

Mahathir berkata, kerajaan membelanjakan banyak wang untuk membayar hutang 1MDB dan faedah dari hutang tersebut.

“Dan ini sebabkan negara kekurangan wang untuk bangunkan negara, berikan khidmat pada rakyat Malaysia.

“Sebab itu orang gelak sahaja terhadap dakwaan dia,” katanya.

Mahathir berkata, Najib merupakan seorang manusia yang “luar biasa”.

“Dia curi duit depan kita lepas itu dia kata dia tak curi,” katanya.