- Iklan -
Berita

Walaupun dilabel parti kecil, calon Pejuang yakin tawan DUN Rengit

Calon Pejuang Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir yakin ada peluang untuk atasi BN, PN dan PH.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Seorang sukarelawan mengibarkan bendera Pejuang ketika memacaknya di Larkin, Johor Bahru sebagai kempen pilihan raya negeri pada 12 Mac depan.
Seorang sukarelawan mengibarkan bendera Pejuang ketika memacaknya di Larkin, Johor Bahru sebagai kempen pilihan raya negeri pada 12 Mac depan.

Hujan baru sahaja turun di pekan Rengit di Batu Pahat, Johor.

Dalam sebuah bangunan bersaiz sederhana, bendera Pejuang dipacak di sekeliling bilik gerakan parti itu.

Di seberang jalan, Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir, calon Pejuang bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit sedang menikmati makan petangnya di sebuah gerai.

Jadual Nizam agak padat sejak hari penamaan calon hujung minggu lalu.

Dia mengambil ujian psikometrik “Rasuah Busters” pada pagi Isnin lepas, disusuli dengan pertemuan bersama golongan ibu tunggal di sekitar DUN Rengit.

Sejumlah besar masa dihabiskan atas jalan raya, memandangkan saiz negeri Johor yang agak besar.

Pertarungan empat penjuru diumumkan di kerusi DUN Rengit yang menyaksikan Nizam menentang calon Barisan Nasional (BN), Mohd Fuad Zarkashi, calon Pakatan Harapan (PH), Khairuddin A Rahim dan Mohd Huzair Lajis daripada Perikatan Nasional (PN).

Meskipun Pejuang pertama kali bertanding pilihan raya, Nizam yang pertama kali menjadi calon menolak sangkaan bahawa parti yang diasaskan Dr Mahathir Mohamad itu merupakan parti kecil mahupun parti baru.

Nizam Bashir menyantuni penyokong semasa hari pencalonan PRN Johor. Dia akan bertanding dalam persaingan empat penjuru di Rengit melawan calon BN, PN dan PKR.

Nizam yang juga merupakan seorang peguam itu bagaimanapun menepis tanggapan bahawa itu parti merupakan pemain baru dalam politik.

“Ikon parti kita ialah Dr Mahathir. Ada juga ikon-ikon parti lain dalam Pejuang.

“Sambutan yang saya dapat bila bertemu rakyat, semua kenal Dr Mahathir dan beri maklum balas yang menggalakkan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Nama bekas perdana menteri itu tidak asing di Johor dengan cerita lama antara sosok itu dengan Istana Johor.

Nizam mengakui isu hubungan Mahathir dengan keluarga diraja Johor sering dibangkitkan, namun dia percaya titik pertemuan untuk mana-mana pihak ialah Perlembagaan Malaysia.

Tidak mahu ketinggalan dalam persaingan merebut pentadbiran negeri selatan itu, Pejuang menampilkan Aspirasi Johor sebagai manifesto parti itu untuk menarik hati pengundi pada 12 Mac ini.

Katanya, PKR juga semasa awal penubuhannya dianggap sebagai parti kecil, namun berjaya menawan beberapa kerusi.

“Isunya bukan parti itu kecil atau tidak, tetapi sama ada individu yang mewakili parti itu mampu atau tidak (sebagai wakil rakyat).”

Pejuang yang ditunjangi Mahathir dan anaknya, Mukhriz Mahathir yang juga presiden parti itu meletakkan 42 calon untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Sejumlah besar kerusi yang ditandingi Pejuang merupakan kerusi majoriti pengundi Melayu.

Pasaran undi Melayu sesak

“Pasaran” undi Melayu sesak menjadi rebutan pelbagai parti seperti Umno, PAS dan Bersatu.

Pejuang bakal bersaing dengan parti-parti tersebut apabila bertanding solo dan tidak mengadakan kerjasama dengan mana-mana blok politik.

Bagi Nizam, ia bukan halangan kerana populasi masyarakat Melayu semakin bertambah.

“Terdapat peningkatan jumlah komuniti dan bilangan masyarakat Melayu, jauh berbeza daripada 60% yang dahulu. Ini menunjukkan ada ruang tambahan untuk satu lagi parti.

“Pada masa yang sama, tidak benar parti Pejuang dalam arena politik hanya untuk masyarakat Melayu,” katanya.

MalaysiaNow terdahulu melaporkan, penganalisis politik Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, pengundi Johor melihat kepada faktor gabungan politik.

Ia bermakna BN, PN dan PH akan menjadi tumpuan, manakala parti yang bersendirian tidak berpeluang untuk menang.

Selain itu, ada juga yang menyatakan PRN Johor bakal menyaksikan keputusan yang sama seperti Melaka.

Namun kata Nizam, itu merupakan satu persepsi yang salah.

Melihat kepada Melaka, BN berjaya menubuhkan kerajaan meskipun dengan hanya 38% undi pada November lalu.

“Di Melaka Pejuang dan Muda tidak bertanding, Undi 18 juga bukan satu faktor,” katanya yang merujuk kepada implementasi hak mengundi kepada warganegara berusia 18 tahun.

Mengenai aspirasinya sendiri untuk DUN Rengit, Nizam mahu melihat lebih banyak aktiviti ekonomi, terutama potensi pelancongan tempat itu.

“Ini perkara yang disemak oleh mana-mana pihak yang ingin mentadbir Rengit. Kedudukan Rengit di tepi pantai sesuai untuk merangsang aktiviti pelancongan.

“Umno mentadbir Rengit sejak 2004. Mungkin disebabkan tiada orang luar untuk tengok dan semak kembali, usaha menarik pelancong itu seakan tiada,” katanya.

Dia turut membandingkan pantai di Perpat, Rengit yang kurang dikenali berbanding Pantai Minyak Beku di Senggarang yang lebih meriah.

Mengenai persaingannya, Nizam berkata masing-masing mempunyai kekuatan atau cabaran tersendiri.

Sebagai pengamal undang-undang selama lebih dua dekad dan banyak memberi komentar mengenai isu-isu Perlembagaan, dia yakin mampu menjadi calon terbaik untuk 27,000 pengundi DUN berkenaan.

Di Rengit, ura-ura mengenai ketidakpuasan hati akar umbi BN terhadap pencalonan Fuad yang juga bekas ketua pengarah Jabatan Hal-Ehwal Khas (Jasa) itu mungkin sedikit sebanyak membantu Nizam.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, DUN Rengit dimenangi oleh Ayub Jamil daripada BN dengan lebih 9,000 undi, menewaskan calon PKR dan PAS.

Ayub yang juga bekas exco perumahan dan kerajaan tempatan Johor tidak disenaraikan bertanding pada PRN kali ini.