- Iklan -
Berita

Permohonan kedua Rosmah mohon hakim tarik diri salah guna proses mahkamah, kata pendakwaan

Ketua pendakwaan Gopal Sri Ram berkata hakim telah mengeluarkan keputusan ke atas permohonan sama Disember tahun lepas dan ia tidak boleh diteruskan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Rosmah Mansor, isteri bekas perdana menteri Najib Razak.
Rosmah Mansor, isteri bekas perdana menteri Najib Razak.

Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai Rosmah Mansor menegaskan percubaan kedua beliau untuk memohon Hakim Mohamed Zaini Mazlan menarik diri daripada mendengar kes berkenaan adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan yang juga mengetuai pendakwaan dalam kes itu, Gopal Sri Ram berkata memandangkan Mohamed Zaini telah menolak permohonan sama supaya beliau menarik diri daripada mendengar perbicaraan itu sebelum ini, ia hanya percubaan ulangan ke atas apa yang gagal tahun lepas.

“Tetuan Geethan Ram memfailkan permohonan supaya hakim menarik diri itu sebelum ini dan kini permohonan sama difailkan oleh firma berbeza dan bermakna pada masa akan datang kami akan menyaksikan permohonan sama daripada firma lain.

“Ia merupakan penyalahgunaan proses mahkamah, Yang Arif sudah mengeluarkan keputusan ke atas permohonan sama Disember tahun lepas. Permohonan ini tidak boleh diteruskan,” kata Sri Ram.

Ini adalah kali kedua isteri bekas perdana menteri Najib Razak memfailkan permohonan sama selepas Zaini yang merupakan hakim sama di dalam perbicaraan kes hibrid solar Rosmah telah menolak permohonan Rosmah supaya beliau menarik diri daripada mendengar perbicaraan itu pada 14 Disember lepas.

Dalam keputusannya pada 14 Disember, Zaini berkata berkata beliau berhati-hati untuk memastikan beliau tidak berprasangka terhadap Rosmah dalam kes pengubahan wang haram apabila merujuk kepada kenyataan dalam kes hibrid solar kerana seorang hakim perlu membuat pertimbangan secara berasingan dan bebas terhadap bukti ke atas tertuduh.

“Sebarang dapatan yang saya peroleh dalam kes solar kekal di sana. Ia tanggungjawab saya yang berat atau kepada mana-mana hakim untuk memastikan tertuduh dibicarakan secara adil sebagaimana termaktub dalam Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan, katanya.

Sementara itu, peguam Rosmah, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin berkata hujah pendakwaan yang menekankan permohonan ini tidak boleh dikatakan sebagai menyalahgunakan proses mahkamah kerana ia berdasarkan faktor yang berbeza.

“Peranan Hakim Mohamed Zaini dalam beberapa kes jenayah berkaitan keluarga Rosmah termasuk Najib mungkin menyebabkan hakim itu tidak boleh menjalankan fungsi kehakimannya tanpa membuat pengadilan terlebih dahulu ke atas isu-isu, maka ini mengundang bahaya sebenar, iaitu berat sebelah kepada anak guam saya.

“Kelemahan manusia adalah faktor penting untuk dipertimbangkan malah apabila ia menyentuh mereka yang dilatih supaya mempunyai minda adil dan bebas kerana seorang hakim tetap juga seorang manusia,” katanya.

Firoz berkata penglibatan Mohamed Zaini dalam pelbagai kes melibatkan Rosmah mungkin mendedahkan anak guamnya kepada kesilapan mahkamah dan natijahnya mungkin mengurangkan keyakinan orang ramai ke atas badan kehakiman.

Mohamed Zaini kemudian menetapkan 21 Mac ini untuk membuat keputusan permohonan itu.

Rosmah, 70, berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.