- Iklan -
Berita

Gegaran dijangka berlaku 2 hari lagi selepas gempa di Indonesia

MetMalaysia berkata gempa bumi yang melanda pulau Sumatera pagi tadi menyebabkan 20 gegaran susulan pelbagai magnitud setakat tengah hari tadi.

Nur Shazreena Ali
1 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai berkumpul di kawasan lapang selepas keluar dari bangunan ketika merasa gegaran gempa di ibu negara Kuala Lumpur hari ini. Gambar: Bernama
Orang ramai berkumpul di kawasan lapang selepas keluar dari bangunan ketika merasa gegaran gempa di ibu negara Kuala Lumpur hari ini. Gambar: Bernama

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memberi amaran gegaran susulan mungkin akan berlaku di Malaysia dalam masa dua hari akan datang susulan gempa bumi yang melanda pantai barat pulau Sumatera, Indonesia hari ini.

Ketika dihubungi MalaysiaNow, jurucakap MetMalaysia berkata gempa hari ini menyebabkan 20 gegaran susulan pelbagai magnitud setakat tengah hari.

Gempa bumi pertama berukuran 6.2 pada skala Richter berlaku pada pukul 9.39 pagi tadi mencecah kedalaman sejauh 10km.

Pihak berkuasa Indonesia berkata pusat gempa itu berada di kawasan darat dan tidak memberi ancaman tsunami.

Kenyataan Indonesia turut disahkan MetMalaysia, mengatakan tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Bagaimanapun, gegaran daripada gempa itu dirasai di beberapa wilayah jiran termasuk Riau, Sumatera Utara, Singapura dan enam negeri iaitu Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Melaka.

Pada pukul 12.02 tengah hari tadi, gempa bumi kedua berlaku di Sumatera menyebabkan beberapa gegaran dirasai di Lembah Klang.

MetMalaysia menasihatkan orang ramai supaya mencari tempat perlindungan dan keluar dari bangunan jika merasai gegaran gempa.