- Iklan -
Berita

Harga minyak mentah cecah AS$100 setong, tertinggi sejak 8 tahun

Penganalisis beri amaran tekanan inflasi mungkin berlaku terhadap ekonomi global akibat lonjakan harga tersebut.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi

Harga minyak mentah Brent melonjak mencecah AS$100 setong buat kali pertama sejak 2014 selepas serangan Rusia terhadap Ukraine, membangkitkan kebimbangan perang yang meletus di Eropah itu boleh mengganggu bekalan sumber tenaga global.

Selepas Presiden Rusia Vladimir Putin mengumumkan operasi ketenteraan khas, Menteri Luar Ukraine Dmytro Kuleba berkata dalam sebuah ciapan Twitter bahawa Rusia melancarkan pencerobohan berskala penuh ke atas Ukraine dan menyasarkan beberapa bandar di negara itu.

Harga minyak mentah Brent mencecah paras tertinggi sebanyak AS$102.48 setong, harga paling tinggi sejak September 2014.

Pagi tadi, harga minyak mentah direkodkan dan berada pada nilai AS$102.06 setong, di mana ia menyaksikan kenaikan mendadak sebanyak AS$5.22, atau 5.4%.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat juga melonjak sebanyak AS$4.85, atau 5.3%, kepada AS$96.95 setong, selepas meningkat kepada AS$97.40, harga tertinggi sejak Ogos 2014.

Sejak awal 2022, harga minyak mentah melonjak lebih AS$20 setong berikutan kebimbangan AS dan Eropah bakal mengenakan sekatan ke atas sektor tenaga Rusia, sehingga mengganggu bekalan.

Rusia ialah pengeluar minyak kedua terbesar di dunia di mana ia menjual minyak mentahnya kepada kilang penapisan Eropah, selain menjadi pembekal gas asli terbesar ke Eropah, menyediakan kira-kira 35% daripada bekalan di sana.

“Pengumuman Rusia mengenai operasi ketenteraan di Ukraine telah menyebabkan harga minyak mentah Brent melonjak ke paras AS$100 setong,” kata Ketua Penyelididkan Komoditi ING Warren Patterson.

“Ketidaktentuan yang terus berlaku dalam pasaran minyak sudah sedia ketat menyebabkannya semakin tidak stabil, disebabkan itu, harga minyak mungkin kekal tidak menentu dan melonjak,” tambahnya.