- Iklan -
Berita

Gred dan kerjaya dalam dunia pasca pandemik

Ketika pandemik Covid-19 menganggu sistem pendidikan negara, pakar berkata sudah tiba masanya orang ramai mengubah minda.

Ahmad Mustakim Zulkifli & Azzman Abdul Jamal
3 minit bacaan
Kongsi
Seorang pelajar menggunakan telefon bimbit ibunya untuk mengikuti pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR) di Pangsapuri Taman Teknologi, Kajang. Gambar: Bernama
Seorang pelajar menggunakan telefon bimbit ibunya untuk mengikuti pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR) di Pangsapuri Taman Teknologi, Kajang. Gambar: Bernama

Lebih dua tahun Covid-19 melanda dunia, sistem pendidikan Malaysia masih bergelut untuk kembali pulih dengan sesi persekolahan yang masih belum konsisten, selain penerapan sistem penggiliran dalam usaha membendung wabak yang kini turut diancam varian Omicron.

Selain itu, penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) selama beberapa bulan dan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) juga turut memberi kesan terhadap ramai pelajar, sehingga ada yang mengatakan ia telah membunuh minat para pelajar untuk meneruskan pembelajaran.

Bahkan, ada juga pelajar dan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dilaporkan memilih untuk bekerja dan tidak meneruskan sesi persekolahan, ekoran sesi yang terganggu.

Ia sekali gus menimbulkan persoalan mengenai pilihan kerjaya dan bidang generasi akan datang.

Bagaimanapun, rata-rata ibu bapa mengekalkan pemikiran konvensional, iaitu mahukan anak mereka mencari kerjaya dalam bidang yang memerlukan kelulusan akademik, meskipun pembelajaran dan prestasi anak-anak mereka terjejas.

Ramai ibu bapa mengakui prestasi pembelajaran anak-anak mula merosot apabila tidak perlu menghadiri kelas secara fizikal dan sukar untuk memberi tumpuan sepenuhnya ketika sesi PdPR.

Bagaimanapun, mereka yakin masih ada masa untuk perbaiki prestasi pelajaran anak-anak sebelum menduduki peperiksaan SPM.

Ally Sabari, 39, ibu kepada dua anak berusia 12 dan 13 tahun, berkata sasaran utamanya ialah memastikan kedua-dua anaknya dapat melanjutkan pelajaran di universiti dan yakin dia masih mempunyai peluang cerah untuk merealisasikan hasrat tersebut.

“Saya masih ada beberapa tahun lagi untuk pastikan anak-anak berada di landasan betul,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Mereka masih boleh perbaiki pembelajaran dengan pelbagai cara seperti menghadiri kelas tambahan.”

Namun begitu, Ally kekal bersifat terbuka apabila dia dan suaminya mempunyai rancangan alternatif sekiranya anak-anak mereka memerlukan kerjaya yang tidak berlandaskan pendidikan.

Ally berkata, petani moden merupakan bidang yang wajar diterokai memandangkan dia mempunyai sebidang tanah di kampungnya di Kuantan, Pahang dan ini hanyalah pilihan terakhir sekiranya anak-anaknya tidak mampu membawa diri ke peringkat kolej atau universiti.

“Kebetulan kami sudah rancang untuk bersara dan menetap di kampung. Tambahan pula kos sara hidup semakin tinggi sekarang.

“Justeru, saya rasa bidang ini dapat menjana pendapatan yang lebih baik jika diurus dengan betul,” katanya.

Sementara Abd Razid Borhan, 42, bapa kepada tiga anak, turut menggalakkan anak-anaknya melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, namun ia bukanlah satu paksaan.

Katanya, dia tetap akan menyokong apa jua keputusan anak-anaknya dalam aspek pemilihan kerjaya, dengan syarat ia merupakan kerjaya yang baik dan mampu bertahan lama.

“Jika anak tidak cemerlang dalam pelajaran, mungkin mereka mempunyai kemahiran lain,” kata Razid yang mempunyai anak berusia lapan, 14 dan 17 tahun.

Dalam pada itu, pakar pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia, Anuar Ahmad, pandemik yang melanda wajar membuka mata kepada ibu bapa dan pelajar dalam meneroka pilihan selain kerjaya berlandas kelulusan akademik semata-mata.

“Konsep pendidikan bukan hanya untuk akademik sahaja tetapi merangkumi bakat dan potensi yang berbagai.

“Sebab itu pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) mesti dikembangkan supaya lebih ramai pelajar yang tidak berminat dengan akademik boleh mengikuti TVET.

“Tetapi di Malaysia TVET masih tidak begitu mendapat tempat kerana jenis pekerjaan masih bergaji rendah. Begitu juga dengan sukan, seni, kebudayaan dan keusahawanan yang masih kurang berbanding aliran akademik,” katanya kepada MalaysiaNow.

Anuar memberitahu, ramai ibu bapa mempunyai stigma lama dengan menganggap aliran akademik menyediakan peluang pekerjaan yang lebih baik.

Ia meskipun realiti hari ini menunjukkan ramai graduan jurusan akademik mengganggur, manakala graduan jurusan TVET mendapat pekerjaan.

“Tanggapan lama para ibubapa kena berubah,” katanya.

“Ya stigma lama ialah aliran akademik akan menyediakan peluang pekerjaan yang lebih baik. Sedangkan realiti hari ini ramai graduan jurusan akademik yg menganggur manakala 90% graduan jurusan TVET mendapat pekerjaan,” katanya.

Anuar tidak menafikan sistem dan persekitaran asas tetap perlu diutamakan sekiranya murid-murid memilih untuk meneruskan pengajian dalam bidang selain akademik.