- Iklan -
Berita

Peguam Rosmah bantah Sri Ram berhujah sendiri permohonan gugurnya sebagai pendakwa

Peguam Rosmah berkata penglibatan bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu mungkin melibatkan konflik kepentingan kerana Sri Ram adalah subjek dalam kes ini.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram. Gambar: Bernama
Bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram. Gambar: Bernama

Pasukan pembelaan Rosmah Mansor hari ini membantah percubaan Gopal Sri Ram untuk berhujah sendiri dalam permohonan Rosmah bagi melucutkan kelayakannya sebagai pendakwa utama dalam perbicaraan kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukainya.

Peguam Rosmah, Mohamed Reza Rahim memberitahu hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan bahawa ia mungkin melibatkan konflik kepentingan kerana Sri Ram adalah subjek dalam kes ini.

“Ia juga melanggar Peraturan 5 Profesion Undang-undang (Amalan dan Etiket) 1978. Kami amat terkejut apabila rakan saya (Sri Ram) memutuskan untuk membuat ‘pusingan U’,” katanya sambil menambah bahawa pasukan pembelaan tidak sedar mengenai perkara itu (Sri Ram sendiri akan berhujah).

Sri Ram pula membalas bahawa beliau telah menerima arahan daripada peguam negara untuk berhujah dalam kes berkenaan.

“Saya menerima arahan daripada Ahmad Akram (timbalan pendakwa raya) petang tadi dan arahan itu datang daripada peguam negara. Beliau (Ahmad Akram) berkata beliau akan berasa selesa jika saya berhujah sendiri dalam kes saya ini.

“Ia bukan soal kemampuan Akram. Namun saya serahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan,” kata Sri Ram.

Semalam, mahkamah menetapkan pendengaran bantahan awal pihak pendakwaan terhadap permohonan hilang kelayakan itu oleh isteri bekas perdana menteri Najib Razak.

Mahkamah juga akan mendengar permohonan kedua Rosmah supaya Mohamed Zaini menarik diri dan menangguhkan perbicaraan sementara menunggu keputusan rayuannya di Mahkamah Rayuan untuk membatalkan kelayakan hakim itu.

Hakim Zaini menangguhkan prosiding hari ini dan menetapkan esok untuk mendengar semua perkara berkenaan.

Ini adalah kali kedua Rosmah memfailkan permohonan terhadap Zaini – yang juga mendengar perbicaraan berkaitan kes rasuah melibatkan hibrid solarnya – menolak permohonan untuk menarik diri daripada mendengar perbicaraan pada 14 Disember.

Pada 27 Januari lepas Rosmah menfailkan notis usul bagi membatalkan kelayakan Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan pengubahan wang haram dan pengelakan cukainya.

Dalam afidavit sokongannya, Rosmah mendakwa Peguam Negara Idrus Harun telah bertindak di luar bidang kuasanya apabila melantik Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan untuk mengetuai siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pendakwaan terhadap mereka yang terlibat.

Rosmah berkata selepas meneliti surat pelantikan bekas hakim Mahkamah Persekutuan sebagai timbalan kanan pendakwa raya bertarikh 21 Mei 2021, mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Tatacara Jenayah, beliau mendapati pelantikan itu tidak merujuk kepada kesnya.

Beliau berkata jika mahkamah berpendapat bahawa Idrus telah bertindak secara teratur selaras dengan kuasa berkanunnya, Sri Ram masih bukan individu yang “layak dan sesuai” untuk mendakwa kes itu.

Rosmah, 70, berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Bangunan Getah Asli cawangan, Jalan Ampang di sini antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017, dan di LHDN di Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim antara 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018.