- Iklan -
Berita

Liputan rendah dos penggalak dalam kalangan Melayu: Antivaksin atau ragu-ragu?

Pakar membicarakan statistik terkini yang menunjukkan masyarakat Melayu ketinggalan berbanding kaum lain dalam liputan dos penggalak vaksin Covid-19, ketika gelombang Omicron melanda negara.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Doktor sukarelawan Persatuan Bulan Sabit Merah, Dr Mohammad Al-Imran Kassim menjalankan vaksinasi kepada seorang warga emas di Taman Dato Razali, Ampang. Ramai Melayu yang mengambil sikap tunggu dan lihat mengenai dos penggalak.
Doktor sukarelawan Persatuan Bulan Sabit Merah, Dr Mohammad Al-Imran Kassim menjalankan vaksinasi kepada seorang warga emas di Taman Dato Razali, Ampang. Ramai Melayu yang mengambil sikap tunggu dan lihat mengenai dos penggalak.

Masyarakat Melayu masih mengambil sikap tunggu dan lihat berhubung suntikan dos penggalak ketika kes harian Covid-19 sedang meningkat naik akibat gelombang Omicron, kata pakar berikutan pendedahan kementerian kesihatan (KKM) bahawa populasi itu merupakan kaum paling rendah menerima dos ketiga vaksin berbanding yang lain.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada satu sidang media beberapa hari lepas memaklumkan kurang 50% masyarakat Melayu yang menerima dos tersebut meskipun pemberian dos penggalak harian mula meningkat.

Menurut data KKM, masyarakat Melayu merekodkan sebanyak 47% individu yang menerima dos penggalak, paling rendah berbanding Orang Asli (49.6%), lain-lain (50.6%), India (56.4%), dan Cina.

Mengulas mengenai perkara itu, pakar psikologi dari Universiti Perguruan Sultan Idris, Fauziah Mohd Sa’ad berkata, masyarakat Melayu dikesan mengambil sikap tunggu dan lihat berhubung pengambilan dos penggalak.

“Mereka mahu tengok apa kesan dos penggalak ini sebelum mahu buat keputusan hendak ambil atau tidak,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Jika tiada kesan sampingan, baru mereka mahu ambil.”

Sikap skeptikal turut dikesan dalam kalangan pengguna media sosial Melayu.

Selain itu, kempen memomokkan dos penggalak dan vaksin untuk kanak-kanak turut mendapat momentum di platform internet.

Antaranya, video anak Khairy yang mengambil vaksin turut dipertikaikan pengguna media sosial.

Komen-komen bersifat sarkastik juga sering dilemparkan terhadap perbincangan atau berita berkaitan dos penggalak.

Kerajaan mula memberi dos penggalak sejak Oktober tahun lalu kepada petugas barisan hadapan, selain golongan berisiko tinggi.

Sebelum itu, kerajaan menumpukan pemberian vaksin kepada remaja.

Ekoran penularan varian Delta dan Omicron, kerajaan membuat keputusan untuk menukar status vaksinasi kepada tidak lengkap terhadap individu yang menerima dua dos vaksin Sinovac dan mereka yang berusia 60 tahun ke atas, sekiranya mereka tidak mendapatkan suntikan dos penggalak selepas bulan ini.

Pakar kesihatan awam, Dr Zainal Ariffin Omar bagaimanapun menjelaskan, golongan “booster hesitant” tidak sama dengan kumpulan antivaksin.

“Majoriti mereka terima vaksin primer pelbagai jenis,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Pada mulanya bersifat kepercayaan atau keraguan individu, tetapi kerana dibesarkan (amplified) oleh banyak faktor, ia membentuk kepercayaan dan persepsi kelompok terutama orang Melayu yang mempunyai semangat dan kepercayaan kelompok yang tinggi.”

Situasi itu katanya, membabitkan pelbagai status sosioekonomi dan pendidikan.

Zainal, yang juga pengerusi pasukan sukarelawan komuniti melawan Covid-19 berkata, selain kesan sampingan, masyarakat Melayu yakin dengan vaksin primer yang diterima mereka, selain menjangkakan jangkitan Covid-19 kali ini tidak serius dan teruk seperti fasa awal.

Bagi Fauziah, masyarakat Melayu turut terkesan isu-isu yang tular di media sosial turut memainkan peranan dalam mempengaruhi minda golongan itu.

“Isunya ialah kesan vaksin yang didakwa mendatangkan mudarat, walhal ia mungkin kerana individu itu sudah pun ada penyakit tertentu.

“Orang Melayu juga bercerita tentang bermacam-macam ideologi dan pandangan di media sosial,” katanya.

Menurut Fauziah apabila kerajaan membuat penerangan, masyarakat Melayu didapati kurang pengetahuan dan kesedaran terhadap Covid-19 dan mutasi varian.

Fauziah berkata dapatan itu diterimanya hasil daripada maklum balas dengan petugas barisan depan.

Zainal turut bersetuju dengan pemerhatian itu.

Katanya, selain berita negatif mengenai dos penggalak dari dalam dan luar negara, masyarakat Melayu mempunyai defisit kepercayaan kerana “ketidakpercayaan” dan kemarahan terhadap pihak berkuasa.

Ditanya mengapa sikap was-was terhadap dos penggalak terjadi waima dalam kalangan individu yang sudah lengkap divaksin, Fauziah berkata hal itu berkemungkinan berpunca daripada keputusan kerajaan mewajibkan dua dos vaksin, namun tidak mewajibkan pengambilan dos penggalak.

Tambahnya, masyarakat Melayu juga skeptikal dengan kesan vaksin terhadap anak-anak mereka.

“Mereka hanya fikirkan kesan vaksin namun tidak memikirkan kesan jangka panjang sekiranya anak mereka dijangkiti Covid-19.

“Dalam 1,000 kes mungkin hanya ada satu kes kesan vaksin, itupun perlu lihat ketahanan atau kanak-kanak itu sememangnya ada penyakit lain,” katanya.

Sehingga 15 Februari, seramai 246,869 atau tujuh peratus kanak-kanak antara lima hingga 11 tahun telah menerima dos pertama vaksin Covid-19.

Justeru, katanya program kesedaran dan pendidikan berterusan perlu dilaksanakan tanpa henti dengan menyasarkan masyarakat Melayu untuk mengambil dos penggalak.

“Ada golongan masyarakat Melayu yang mudah menerima apa sahaja tanpa berfikir, apatah lagi jika disampaikan oleh tokoh yang berpengaruh. Ini boleh diatasi dengan didikan.

“Jelaskan kepada mereka mengenai varian-varian Covid-19, mengenai mutasi dan keberkesanan dos penggalak terhadap mutasi Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Zainal menegaskan, kerajaan perlu menggunakan pendekatan memberi pilihan dan bukan ugutan.

Penglibatan golongan tanpa kepentingan kuga kritikal dalam memenangi semula kepercayaan masyarakat Melayu.

“Kurangkan guna orang politik, artis dan golongan yang kurang faham isu ini.

“Kongsikan info kesan buruk susulan imunisasi (AEFI) dengan telus dan kerap,” katanya.