- Iklan -
Berita

Hentikan hukuman mati berkait dadah, kata PBB kepada Singapura

Pejabat PBB menyuarakan amaran terhadap kes Pausi Jefridin dan Roslan Bakar yang ditahan pada 2008 dan disabitkan kesalahan dua tahun kemudiannya atas kesalahan menyeludup dadah.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail menunjukkan seorang pengawal bersenjata api di pintu masuk Penjara Changi, Singapura. Gambar: AFP
Gambar fail menunjukkan seorang pengawal bersenjata api di pintu masuk Penjara Changi, Singapura. Gambar: AFP

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa menggesa Singapura menghentikan pelaksanaan hukuman mati terhadap dua tahanan kesalahan dadah.

PBB juga turut mendesak republik itu supaya menghentikan pelaksanaan hukuman mati.

Cabang hak asasi manusia PBB menyuarakan amaran terhadap kes dihadapi Pausi Jefridin dan Roslan Bakar yang ditahan pada 2008 dan disabitkan kesalahan dua tahun selepas itu atas kesalahan menyeludup dadah.

Mereka merupakan banduan bilik akhir sejak 12 tahun lalu, dan hanya dilaporkan bakal menjalani hukuman gantung Rabu lalu sebelum tarikh pelaksanaan hukuman seminggu selepasnya, pada 16 Februari.

“Penggunaan hukuman mati bagi kesalahan berkaitan dadah adalah tidak selari dengan undang-undang hak asasi antarabangsa,” kata jurucakap PBB Ravina Shamdasani kepada pemberita di Geneva.

Beliau turut menegaskan hukuman mati hanya dibenarkan di bawah undang-undang antarabangsa bagi “kesalahan paling berat, di mana ia ditafsirkan sebagai jenayah-jenayah melibatkan bunuh dengan niat.”

Menurut Shamdasani, apa yang lebih memburukkan keadaan dalam kes ini, adalah status kedua-dua lelaki yang merupakan orang kurang upaya (OKU) mental.

Katanya, Jefridin yang merupakan warga Malaysia mempunyai skor IQ sebanyak 67.

Beliau turut menyatakan keadaan keluarga Jefridin di Malaysia yang sukar melawatnya ekoran sekatan Covid-19.

Dalam pada itu, katanya, rayuan akhir pada Selasa turut ditolak dan pelaksanaan hukuman diteruskan seperti yang dijadualkan hari ini.

Pelaksanaan hukuman itu adalah yang pertama dijalankan di Singapura sejak November 2019.

Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty turut berkata semakan undang-undang turut difailkan pada Selasa di Singapura, mendesak supaya pelaksanaan tidak dijalankan sehingga proses perundangan tersebut selesai didengar di mahkamah.

Singapura yang mempunyai undang-undang keras terhadap kesalahan dadah bertegas hukuman mati sebagai pencegah yang berkesan terhadap kesalahan jenayah.

Bagaimanapun, Shamdasani menekankan bahawa “secara global, hukuman mati tidak pernah terbukti menjadi pencegah jenayah yang berkesan.”

Pada masa sama, beliau turut memberi amaran hak asasi banduan bilik akhir dan keluarga sering dilanggar.

“Kami gesa kerajaan untuk ringankan hukuman terhadap mereka, dan memperbaharui undang-undang Singapura dengan menamatkan pelaksanaan hukuman mati.”

Penyelidik Amnesty International Singapura Rachel Chhoa-Howard turut bersetuju, mengatakan rancangan pelaksanaan hukuman tersebut adalah satu perkara yang “sangat mengejutkan”.

“Sudah tiba waktunya Singapura mewujudkan semula moratorium terhadap hukuman mati sebagai langkah pertama untuk memansuhkan hukuman tersebut,” katanya dalam sebuah kenyataan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.