- Iklan -
Berita

Anak pelarian Kemboja kelahiran Pahang gagal dapat kerakyatan

Bagaimanapun, hakim Mahkamah Rayuan berkata Azimah masih boleh memohon kerakyatan secara naturalisasi jika keperluan undang-undang dipenuhi dan pihak berkuasa berpuas hati.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Mahkamah Rayuan tidak mendapati sebarang kesilapan dalam dapatan Mahkamah Tinggi yang memutuskan Azimah Hamzah gagal membuktikan bahawa dia bukan warganegara mana-mana negara dan terdapat bukti bahawa bapanya adalah seorang warga Kemboja pada masa kelahirannya. Gambar: Bernama
Mahkamah Rayuan tidak mendapati sebarang kesilapan dalam dapatan Mahkamah Tinggi yang memutuskan Azimah Hamzah gagal membuktikan bahawa dia bukan warganegara mana-mana negara dan terdapat bukti bahawa bapanya adalah seorang warga Kemboja pada masa kelahirannya. Gambar: Bernama

Seorang wanita berusia 35 tahun dilahirkan di kem pelarian di Cherating, Pahang, yang ibu bapanya pelarian Islam dari Kemboja, gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan untuk diisytiharkan sebagai warganegara Malaysia.

Rayuan Azimah Hamzah ditolak panel tiga hakim diketuai hakim Kamaludin Md Said dan Vazeer Alam Mydin Meera serta Gunalan Muniandy.

Vazeer yang menyampaikan keputusan mahkamah secara maya berkata mahkamah bersetuju dengan hakim Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa Azimah bukan individu tidak bernegara.

Beliau berkata Mahkamah Rayuan tidak mendapati sebarang kesilapan dalam dapatan Mahkamah Tinggi yang memutuskan Azimah gagal membuktikan bahawa dia bukan warganegara mana-mana negara dan menambah bahawa terdapat beberapa bukti bahawa bapanya adalah seorang warga Kemboja pada masa kelahirannya.

Dua peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu Perkara 14 (1) (b) dan Seksyen 1 (e) Bahagian II jadual kedua Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan seseorang mendapat kerakyatan Malaysia, tidak berlaku kepada Azimah.

Hakim itu berkata mahkamah mengambil maklum bahawa ibu bapa dan adik-beradik Azimah telah memperoleh kerakyatan Malaysia dan Azimah mempunyai pilihan lain untuk mendapatkan kewarganegaraan melalui naturalisasi di bawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan.

Ibu bapa Azimah menjadi pemastautin tetap pada November 1986 dan memperoleh kewarganegaraan melalui Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan pada 2008. Kakak sulungnya yang dilahirkan di luar Malaysia mendapat kewarganegaraan melalui Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan pada 2008 manakala empat adiknya menjadi rakyat Malaysia selepas ibu bapa mereka mendapat kewarganegaraan.

“Kami berasa empati atas kesusahannya, namun pintu belum tertutup. Ia masih terbuka untuk dia memohon kerakyatan secara naturalisasi jika keperluan undang-undang dipenuhi dan pihak berkuasa berpuas hati,” katanya.

Azimah, yang mahu diiktiraf sebagai rakyat Malaysia, mendakwa dia seorang tidak bernegara tanpa kewarganegaraan Kemboja dan telah tinggal sepanjang hidupnya di Malaysia, tidak berjaya dalam semakan kehakimannya yang ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 2020 menyebabkan dia membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Dia memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 2019, menamakan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan Malaysia bagi mendapatkan pelbagai perintah mahkamah termasuk pengisytiharan diiktiraf sebagai warganegara Malaysia dan pengeluaran MyKad atau sijil kewarganegaraan.

Sementara itu, dalam satu lagi rayuan kewarganegaraan, panel hakim yang sama membenarkan rayuan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun, yang dilahirkan berbapakan warganegara Malaysia dan ibunya warga Filipina selepas menolak rayuan Ketua Setiausaha KDN, Ketua Pengarah JPN dan kerajaan Malaysia.

Dalam kes itu, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memberikan kewarganegaraan kepada remaja kelahiran Perak itu dan memerintahkan supaya sijil kewarganegaraan dan kad pengenalan dikeluarkan kepada gadis itu.

Gunalan, yang membacakan keputusan mahkamah berkata hakim Mahkamah Tinggi betul dalam keputusannya pada Mei 2019 untuk memberikan kewarganegaraan kepada remaja itu melalui undang-undang di bawah Perkara 14(1) (b) Perlembagaan Persekutuan dan memerintahkan JPN untuk mengeluarkan kad pengenalannya.

Permohonan gadis itu untuk mendapatkan kerakyatan ditolak kerana dianggap tidak sah taraf kerana dilahirkan sebelum perkahwinan ibu bapanya didaftarkan.

Bapa remaja itu telah beberapa kali memohon kewarganegaraan anak perempuannya tetapi tidak berjaya menyebabkan dia memfailkan semakan kehakiman pada 2016.