Khairy ingatkan penerima Sinovac ambil dos penggalak sebelum 1 Mac
Warga emas dan penerima vaksin Sinovac yang tidak mengambil dos penggalak sebelum 1 Mac akan menyebabkan sijil vaksinasi mereka menjadi tidak lengkap dalam aplikasi MySejahtera.
Terkini
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini mengingatkan supaya warga emas dan penerima vaksin Sinovac akan mengambil dos penggalak sebelum 1 Mac depan.
Dalam sebuah ciapan Twitter, Khairy turut berkata status vaksinasi warga emas yang tidak menerima dos penggalak akan menjadi tidak lengkap dalam aplikasi MySejahtera.
“Sama juga kepada semua penerima Sinovac tidak kira umur. ‘Top up’ perlindungan anda untuk selamat daripada Omicron,” katanya.
Semalam Khairy berkata sekitar 3.5 juta individu yang menerima vaksin Sinovac belum mendapatkan dos penggalak selain kira-kira 32% daripada kalangan warga emas.
Khairy berkata, wujud kebimbangan dalam kalangan penerima vaksin Sinovac untuk menerima dos penggalak dari Pfizer dan Astrazeneca.
Disebabkan itu kementerian kesihatan (KKM) mengambil keputusan untuk membenarkan mereka mendapatkan vaksin Sinovac bagi dos penggalak melalui janji temu.
Pada Disember, Khairy berkata warga emas berusia 60 tahun ke atas dan mereka yang menerima vaksin Sinovac perlu mendapatkan dos penggalak bagi mengekalkan status lengkap sijil vaksinasi mereka.
Beliau berkata ia adalah selari dengan cadangan dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui Strategic Advisory Group of Experts on Immunisation (SAGE).
“Semua penerima dos lengkap vaksin Sinovac atau individu berumur 60 tahun dan ke atas (tanpa mengira jenis vaksin siri primer) – perlu mendapatkan suntikan dos penggalak selewat-lewatnya pada bulan Februari 2022,” katanya.
Kerajaan memulakan pemeberian dos penggalak kepada mereka yang menerima vaksin lengkap pada 13 Oktober tahun lalu.
Setakat semalam, lebih 53% dewasa atau 12,473,139 individu menerima dos penggalak mereka.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
Paling Popular
Tiada artikel ditemui.
