- Iklan -
Berita

Ambil dos penggalak selewatnya Februari depan atau status vaksinasi tidak lengkap

Warga emas dan penerima vaksinasi lengkap Sinovac perlu mendapatkan dos penggalak bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap mereka.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan menjalankan vaksinasi kepada pekerja-pekerja Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur bagi dos kedua kategori industri di Sepang.
Petugas kesihatan menjalankan vaksinasi kepada pekerja-pekerja Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur bagi dos kedua kategori industri di Sepang.

Warga emas berusia 60 tahun ke atas perlu mendapatkan dos penggalak selewat-lewatnya Februari 2022 bagi mengelakkan status vaksinasi mereka menjadi tidak lengkap, kata kementerian kesihatan hari ini.

Dalam sebuah kenyataan, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata ia adalah selari dengan cadangan dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui Strategic Advisory Group of Experts on Immunisation (SAGE).

“Cadangan ini disahkan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 – Booster (CITF-B) pada 8 Disember 2021,” katanya.

“Sehubungan itu, individu dalam kumpulan yang dinyatakan di atas – semua penerima dos lengkap vaksin Sinovac atau individu berumur 60 tahun dan ke atas (tanpa mengira jenis vaksin siri primer) – perlu mendapatkan suntikan dos penggalak selewat-lewatnya pada bulan Februari 2022.”

Kerajaan memulakan pemberian dos penggalak bagi mereka yang telah menerima vaksin lengkap pada 13 Oktober lalu.

Pada 15 Disember, sebanyak 4,107,585 suntikan dos penggalak telah diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Kebimbangan turut dibangkitkan mengenai kadar rendah kehadiran janji temu suntikan dos penggalak dengan 40% daripada mereka yang menerima janji temu tidak hadir untuk menerima dos tambahan itu.

Semalam, Jabatan Kesihatan Kelantan berkata hanya 7.3% dari 1.2 penerima vaksin lengkap mengambil suntikan dos penggalak mereka.