- Iklan -
Berita

AGC tolak representasi keluarga Azeez kes lucut hak RM16 juta

Surat makluman berhubung penolakan representasi itu telah dihantar kepada peguam responden ahli keluarga Abdul Azeez pada 4 Februari lepas.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Abdul Rahim. Gambar: Bernama
Bekas pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Abdul Rahim. Gambar: Bernama

Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi dikemukakan ahli keluarga bekas Pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Abdul Rahim berhubung permohonan kerajaan untuk melucut hak harta membabitkan wang tunai dan aset bernilai RM16 juta yang didakwa hasil daripada aktiviti pengubahan wang haram.

Timbalan pendakwa raya Nik Haslinie Hashim berkata surat makluman berhubung penolakan representasi itu telah dihantar kepada peguam responden (ahli keluarga Azeez) pada 4 Februari lepas.

“Hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes bagi status representasi oleh pihak responden dan dukacita dimaklumkan bahawa representasi yang difailkan pada 16 November lepas telah ditolak oleh AGC,” katanya ketika prosiding di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Muhammad Jamil Hussin.

Peguam Prem Ramachandran yang mewakili keluarga Azeez mengesahkan telah menerima surat makluman itu.

Mahkamah memerintahkan pihak-pihak memfailkan hujuhan bertulis pada pertengahan Mei ini dan menetapkan 21 Jun untuk pendengaran kes lucut hak.

Pada September 2019, kerajaan memohon untuk melucut hak hampir RM16 juta daripada akaun milik isteri Azeez, Khadijah Mohd Noor, empat anak mereka iaitu Mohamed Khairul Anwar, Mohamed Khairul Azman, Khaleeda Azwa, Khaleeda Azeera termasuk satu lot kedai di Bandar Sunway, milik syarikat mereka, Azeera Management Consultants (M) Sdn Bhd.

Pada 18 Disember 2020, Mahkamah Tinggi menolak permohonan ahli keluarga Azeez untuk menangguhkan prosiding melucut hak sementara perbicaraan kes rasuah terhadap ahli Parlimen Baling itu yang sedang berjalan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selesai.

Azeez, 55, kini dibicarakan atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah, serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan hampir RM140 juta, yang didakwa diterima daripada syarikat Menuju Asas Sdn Bhd.

Perbicaraan tersebut, bagaimanapun ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan berhubung pembatalan kesemua pertuduhan itu di Mahkamah Rayuan.