- Iklan -
Berita

Orang kuat Amanah rayu Agong isytihar darurat tangguh PRN Johor

Rayuan Mazlan supaya Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat seakan tidak senada dengan pemimpin PH yang sebelum ini sering mendesak supaya darurat ditamatkan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Aktiviti ekonomi dan sosial suram ketika darurat dilaksanakan dalam negara pada tahun lalu. Gambar: Bernama
Aktiviti ekonomi dan sosial suram ketika darurat dilaksanakan dalam negara pada tahun lalu. Gambar: Bernama

Orang kuat Amanah hari ini merayu kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah supaya mengisytiharkan darurat bagi menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, memetik kebimbangan varian Omicron yang telah menyebabkan angka kes Covid-19 melonjak.

Menurut Mazlan Aliman, penangguhan pilihan raya dengan pengisytiharan darurat pernah dilakukan sebelum ini di PRN Sarawak dan pilihan raya kecil (PRK) di dua buah negeri.

“Patik merayu kepada Yang Di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat bagi menangguhkan PRN Johor.

“Ia dilakukan terhadap PRN Sarawak, PRK Batu Sapi dan PRK Gerik atas alasan yang sama,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Perintah darurat pertama kali diisytiharkan pada Januari tahun lalu, ketika Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri selepas peningkatan mendadak kes baru jangkitan Covid-19 di seluruh negara selepas PRN Sabah diadakan pada 2020.

Ia adalah susulan daripada pengumuman kedua pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang lebih dikenali PKP 2.0 di seluruh negara.

Sepanjang tempoh darurat, jawatankuasa khas yang dianggotai 19 orang terdiri daripada pemimpin masyarakat dan ahli politik ditubuhkan bagi menasihati Agong, termasuk mengesyorkan penamatannya.

Bagaimanapun, kenyataan Mazlan yang merupakan bekas aktivis popular PAS yang kemudian menyertai Amanah pada awal penubuhannya dilihat tidak senada dengan pemimpin partinya yang sebelum ini sering mendesak darurat yang dilaksanakan bagi membendung pandemic Covid-19 ditamatkan.

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dari Amanah adalah antara pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang lantang mendesak supaya darurat ditamatkan segera.

Beliau bahkan memulakan inisiatif mengumpulkan tandatangan bagi sebuah petisyen mendesak darurat ditamatkan melalui NGO Tamat Darurat yang kemudiannya diserahkan kepada pihak istana.

Selain itu, pada Mac tahun lalu, pemimpin PH turut mengadakan himpunan di Parlimen bagi menggesa darurat ditamatkan bagi membolehkan sidang Dewan Rakyat dijalankan.

Dalam pada itu, Mazlan berkata keutamaan ketika ini adalah melaksanakan langkah-langkah segera bagi mengekang Covid-19 yang kembali meningkat termasuk menghadkan pergerakan rakyat melalui prosedur operasi standard (SOP).

“Nyawa rakyat adalah segala galanya, manakala mandat yang diberi rakyat boleh disekalikan dengan PRU15,” katanya.