- Iklan -
Berita

13 terkorban di Syria akibat serangan pasukan khas AS

Serangan yang menyasarkan bandar Atme itu dikatakan berlangsung kira-kira dua jam.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Bangunan yang menjadi sasaran pasukan khas Amerika Syarikat dalam serangan terbaru di wilayah Idlib, Syrua. Gambar: AFP
Bangunan yang menjadi sasaran pasukan khas Amerika Syarikat dalam serangan terbaru di wilayah Idlib, Syrua. Gambar: AFP

Pasukan khas Amerika Syarikat (AS) berjaya menumpaskan anggota kumpulan jihadis kanan dalam serbuan udara di barat laut Syria pada Khamis, mengorbankan 13 orang dalam operasi yang disifatkan Pentagon sebagai sebuah “kejayaan”.

Operasi terbaru yang dijalankan tersebut dianggap sebagai serangan terbesar oleh tentera AS di wilayah Idlib yang dikuasai puak jihadis sejak serbuan 2019 yang membunuh ketua Daesh Abu Bakr al-Baghdadi.

Serangan yang menyasarkan bandar Atme itu dikatakan berlangsung kira-kira dua jam.

Bagaimanapun, sasaran sebenar serangan tersebut masih belum jelas.

Beberapa nama yang tular di media sosial dan dalam kalangan penduduk tempatan menunjukkan serbuan AS tersebut tidak ditujukan kepada operasi Daesh sebaliknya terhadap kumpulan pesaingnya, Al-Qaeda.

Pentagon tidak mendedahkan sasarannya dalam serbuan tersebut, namun berkata lebih banyak maklumat akan didedahkan kemudian.

“Pasukan Operasi Khas AS di bawah kawalan Pusat Kawalan AS menjalankan misi menentang keganasan petang ini di barat laut Syria,” kata jurucakap John Kirby dalam satu kenyataan.

“Misi itu berjaya. Tiada kemalangan jiwa daripada pasukan AS,” tambahnya.

Pemantau Hak Asasi Manusia Syria berkata sekurang-kurangnya tujuh orang awam menjadi antara 13 orang yang terbunuh dalam operasi tersebut, di mana tentera elit AS membuat pendaratan helikopter berhampiran Atme.

“Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh, antaranya empat kanak-kanak dan tiga wanita semasa operasi tersebut,” kata ketua badan pemantau Rami Abdel Rahman kepada AFP.

Wartawan AFP juga berkesempatan melawat sebuah rumah di pinggir Atme yang menjadi salah satu sasaran utama pasukan khas AS tersebut.

Pertempuran sengit

Bangunan dua tingkat dilihat musnah akibat pertempuran sengit, dengan bingkai tingkap yang pecah, selain sebahagian bumbung runtuh.

Di beberapa bilik bangunan itu, kelihatan kesan darah di dinding dan lantai.

Pasukan khas AS telah menjalankan beberapa operasi terhadap beberapa sasaran di Idlib sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Kawasan tersebut merupakan wilayah terakhir yang masih bertahan dalam penentangan terhadap kerajaan Bashar al-Assad.

Ia juga merupakan tempat tinggal kepada lebih tiga juta penduduk dan didominasi kumpulan jihadis.

Sebahagian besar Idlib ditadbir kumpulan Hayat Tahrir al-Sham (HTS), sebuah kumpulan yang diketuai bekas anggota Al-Qaeda di Syria.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kumpulan itu cuba meletakkan dirinya sebagai kumpulan yang lebih sederhana dan menumpukan hal ehwal Syria dan mengutuk keganasan antarabangsa.

HTS juga turut menjalankan operasi untuk menyingkirkan lebih banyak kumpulan jihad radikal, seperti Hurras al-Deen, yang mempunyai lebih banyak jaringan dengan Al-Qaeda.

Atme juga merupakan rumah kepada sebuah kem besar bagi keluarga yang dipindahkan akibat konflik yang berterusan selama sedekad dan pakar memberi amaran kawasan itu digunakan oleh puak jihadis sebagai tempat persembunyian dalam kalangan orang awam.

Pada 23 Oktober, tentera AS mengumumkan pembunuhan pemimpin kanan Al-Qaeda Abdul Hamid Al-Matar.

“Al-Qaeda menggunakan Syria sebagai tempat selamat untuk membina gerakannya semula, membuat hubungan dengan sekutu luar, dan merancang operasi,” kata jurucakap Pusat Kawalan AS John Rigsbee dalam satu kenyataan.

Tentera Syria dan penyokong utamanya iaitu pasukan Rusia telah melakukan serangan berulang kali terhadap kumpulan jihadis dan pemberontak di wilayah Idlib.

Bagaimanapun perjanjian gencatan senjata yang diusahakan Moscow dan Ankara, dua kuasa asing di negara itu, hampir dua tahun lalu masih secara rasmi dilaksanakan.

Assad menegaskan tumpuan utama kerajaan ketika ini adalah untuk menawan semula keseluruhan Syria, termasuk Idlib.

Namun, kawasan yang dikendalikan puak jihadis sebahagian besarnya masih kekal dan tidak berubah sejak awal 2020.