- Iklan -
Berita

SPRM nafi intimidasi terhadap Maszlee, siasatan ikut SOP

SPRM menjamin siasatan terhadap ahli Parlimen Simpang Renggam itu akan mengikut undang-undang dan profesionalisme.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik. Gambar: Bernama
Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik. Gambar: Bernama

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menafikan sekeras-kerasnya tuduhan Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik yang mendakwa kononnya pegawai agensi itu melakukan intimidasi terhadapnya.

Menurut SPRM, pihaknya menjalankan siasatan terhadap Maszlee dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) selepas menerima dua aduan terhadapnya dan siasatan terhadapnya masih berjalan.

“SPRM ingin menegaskan bahawa proses siasatan perlu dijalankan setelah terdapat aduan rasmi berhubung sesuatu kesalahan rasuah dan penyelewengan sebagaimana peruntukan undang-undang.

“Setiap siasatan yang dijalankan adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan menemu bual beberapa saksi yang terlibat.

“SPRM tidak akan tunduk kepada tekanan dari mana-mana pihak untuk mengalihkan isu rasuah dan penyelewengan dengan pelbagai tekanan yang sengaja dibuat,” kata agensi itu dalam sebuah kenyataan.

Semalam, bekas menteri pendidikan itu dilaporkan berkata siasatan SPRM terhadapnya dan beberapa pegawainya di Parlimen Simpang Renggam adalah satu bentuk intimidasi

Maszlee berkata, beliau difahamkan bahawa SPRM turut menyoal siasat beberapa pegawai di kementerian pendidikan yang didakwanya sebagai usaha untuk mencari kesalahan terhadap dirinya.

“Saya perlu bawa kepada perhatian umum dan kementerian dalam negeri (KDN) bahawa saya sedang diintimidasi oleh pegawai SPRM di Simpang Renggam. Untuk apakah ini?

“Mereka juga melakukan intimidasi terhadap orang yang pernah membantu saya,” katanya.

Dalam pada itu, SPRM berkata siasatan yang dijalankan terhadap Maszlee akan berteraskan prinsip ketelusan, keadilan dan profesionalisme serta berlandaskan undang-undang yang diperuntukkan.

“SPRM berharap agar pihak yang terlibat memberikan kerjasama penuh dan berhenti mensensasikan proses siasatan ini.”

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi