- Iklan -
Berita

Mahkamah arah Najib mohon lantik peguam diraja sebelum 20 Mei

Pelantikan peguam diraja dari United Kingdom akan dibuat secara ad-hoc selepas mendapat kebenaran daripada Mahkamah Malaysia.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak. Gambar: Bernama

Mahkamah Persekutuan mengarahkan Najib Razak untuk menfailkan permohonannya melantik peguam diraja (QC) dari United Kingdom untuk rayuannya bagi membatalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta bagi kes melibatkan dana SRC International Sdn Bhd, sebelum 20 Mei.

Timbalan pendakwa raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul berkata tarikh itu ditetapkan oleh Timbalan pendaftar Mahkamah Persekutuan Siti Hajar Mustaffa semasa perbicaraan secara dalam talian hari ini.

“Tarikh pendengaran bagi pelantikan QC, secara tentatifnya ditetapkan pada satu tarikh antara 20 dan 24 Jun, namun tarikh sebenar akan ditetapkan pada pengurusan kes berikutnya,” katanya.

Pelantikan QC akan dibuat secara ad-hoc selepas mendapat kebenaran daripada Mahkamah Malaysia.

Sementara itu Ashrof berkata mahkamah memutuskan 15 Mac untuk mendengar rayuan Najib bagi mengemukakan bukti baharu, dan bagi rayuan utama (bagi rayuan Najib untuk membatalkan keputusan dalam kes dana SRC), pengurusan kes berikutnya ditetapkan pada 25 Februari pukul 3 petang.

Pada 25 Januari, firma guaman Messrs Shafee & Co menulis enam helaian surat kepada Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengenai hasratnya untuk melantik QC dari United Kingdom bagi membantu bekas perdana menteri itu dalam isu dan persoalan perundangan yang kompleks dalam rayuan bagi membatalkan sabitan serta hukuman dalam kes SRC International itu.

Pada 7 Disember lepas, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baharu bagi rayuannya dalam kes SRC, dengan memutuskan bahawa Najib gagal memenuhi Seksyen 61 Akta Mahkamah Kehakiman secara kumulatif bahawa bukti baharu diperlukan untuk keadilan dalam kes itu.

Sehari selepas itu, mahkamah sama mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC.

Hakim Abdul Karim Abdul Jalil, yang mengetuai panel tiga hakim terdiri dari Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera, menolak rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 28 Julai 2020.

Pada hari sama, Najib, 69, memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.