- Iklan -
Berita

Kit Siang selar kluster mahkamah selepas Muhyiddin dedah percubaan campur tangan kehakiman

Kit Siang berkata pendedahan itu menunjukkan pemimpin Umno tidak menghormati Perlembagaan dan Rukun Negara.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Veteran dan Penasihat DAP Lim Kit Siang. Gambar: Bernama
Veteran dan Penasihat DAP Lim Kit Siang. Gambar: Bernama

Veteran DAP Lim Kit Siang hari ini menyelar pemimpin Umno yang berdepan perbicaraan mahkamah susulan pendedahan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin berhubung permintaan kumpulan yang dikenali sebagai “kluster mahkamah” itu supaya beliau turut campur tangan dalam urusan mahkamah melibatkan kes rasuah yang dihadapi mereka.

Menurut ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, pendedahan Muhyiddin tersebut menunjukkan bahawa pemimpin tertinggi Umno tidak menjunjung Perlembagaan Malaysia.

“Pendedahan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin bahawa ‘kluster mahkamah’ Umno mahu beliau campur tangan dalam kes mahkamah adalah pendedahan yang amat mengejutkan kerana ia menunjukkan bahawa pemimpin tertinggi Umno tidak menjunjung prinsip yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia dan Rukun Negara seperti kedaulatan undang-undang dan doktrin pengasingan kuasa dalam kalangan eksekutif, Parlimen dan badan kehakiman.

“Jelas sekali bahawa ‘kluster mahkamah” Umno jauh menyimpang daripada prinsip Umno yang dipegang erat empat presiden Umno yang pertama – Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Razak dan Hussein Onn,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Pendedahan Muhyiddin mengenai percubaan daripada kluster mahkamah untuk beliau campur tangan dalam urusan badan kehakiman pertama kali didedahkan MalaysiaNow pada Mac tahun lalu.

Muhyiddin bagaimanapun enggan melayaninya dan bertegas untuk menyerahkan kepada pihak mahkamah berhubung kes dihadapi mereka.

Baru-baru ini Muhyiddin juga turut menjawab surat tuntutan oleh Najib berhubung pendedahan beliau mengenai percubaan ahli politik Umno.

Muhyiddin berkata beliau didekati Najib dan beberapa orang perantaranya untuk memohon supaya individu itu digugurkan daripada pasukan pendakwaan dalam kes rasuah yang sedang berjalan.

“Walaupun mengugut dengan saman fitnah, tiada tindakan susulan daripada pihak Najib selepas respons yang diberikan Muhyiddin,” kata sumber dalaman Umno yang rapat dengan kem Najib kepada MalaysiaNow.

Kluster mahkamah adalah gelaran merujuk kepada pemimpin Umno yang ketika ini berdepan perbicaraan mahkamah bagi kes rasuah, pecah amanah (CBT), pengubahan wang haram dan salah guna kuasa.

Kluster itu dikaitkan dengan individu berprofil tinggi seperti bekas perdana menteri Najib Razak yang kini sedang menunggu pendengaran rayuan sabitan dan hukuman bagi pertuduhan melibatkan dana RM42 juta SRC International.

Beliau disabitkan kesalahan tersebut di Mahkamah Tinggi pada Julai 2020.

Najib juga gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan 8 Disember lalu.

Selain Najib, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi juga turut dikaitkan dengan kluster mahkamah.

Dalam pada itu, Lim turut menyelar kluster mahkamah Umno yang dilihat memaksa diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tanpa mengambil kira negeri itu mencatatkan jumlah kes dan kematian Covid-19 tertinggi di Malaysia sejak dua minggu lepas.

“Amat tidak bertanggungjawab untuk ‘kluster mahkamah’ Umno memaksa diadakan pilihan raya negeri Johor tanpa mengambil kira bahawa negeri itu mencatatkan jumlah kes dan kematian Covid-19 tertinggi di Malaysia sejak dua minggu lepas.”

“Kluster mahkamah Umno mahu PRN Johor menjadi pemanas badan sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 yang diharapkan mereka akan memulihkan hegemoni politik Umno dengan kembalinya hegemon/kleptokrat Umno – dan mungkin seorang penjenayah rasuah yang telah disabitkan bersalah oleh mahkamah bakal ditabalkan menjadi perdana menteri Malaysia ke-10,” katanya.