- Iklan -
Berita

Dewan perniagaan Melayu kecam gesaan pengeluaran KWSP bagi meraih markah politik

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia berkata pengeluaran lanjutan KWSP adalah tidak realistik dan merupakan satu eksploitasi terhadap kesengsaraan orang ramai.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja memberi amaran dana perlindungan sosial itu telah berkurang susulan pengeluaran pencarum sepanjang krisis Covid-19. Gambar: Bernama
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja memberi amaran dana perlindungan sosial itu telah berkurang susulan pengeluaran pencarum sepanjang krisis Covid-19. Gambar: Bernama

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) turut menyertai suara kebimbangan berhubung kempen beberapa ahli politik diketuai Najib Razak yang menekan kerajaan untuk membenarkan orang ramai mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), beberapa hari selepas agensi dana persaraan itu memberi amaran orang Melayu merupakan majoriti yang bakal berdepan krisis kewangan ketika bersara.

Badan yang menjadi pelobi utama bagi melindungi kepentingan perniagaan Melayu dalam negara itu berkata sebarang pengeluaran lanjutan dari KWSP bukan sahaja tidak realistik bahkan “eksploitasi terhadap kesengsaraan orang ramai demi meraih markah politik yang jelek.”

“Setelah dua kali program i-Citra KWSP dilaksanakan dengan membenarkan pengeluaran wang simpanan Akaun 1 dan Akaun 2 pencarum sebelum tarikh persaraan, Dewan Melayu menyeru kerajaan pimpinan YAB perdana menteri agar tidak meneruskan i-Citra buat kali yang ketiga kononnya bagi meringankan beban mangsa banjir baru-baru ini, atau menangani musibah Covid-19 dengan jangkitan varian baru,” kata DPMM dalam sebuah kenyataan hari ini.

Kerajaan memperkenalkan pelbagai skim pengeluaran KWSP termasuk i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra bagi mendepani impak kewangan susulan pelaksanaan beberapa peringkat perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi membendung pandemik Covid-19.

Namun, bulan lalu KWSP berkata skim-skim tersebut menyebabkan pengeluaran sebanyak RM101 bilion melibatkan 6.1 juta pencarum, ia menyebabkan ramai yang kini hanya mempunyai simpanan kurang dari RM10,000, sementara 3.6 juta pencarum lain kini hanya mempunyai simpanan yang kurang dari RM1,000.

Kenyataan yang jarang dikeluarkan KWSP itu juga turut memberikan amaran mengenai penyusutan dana ketika Najib dan ahli politik yang bersekutu dengannya menggesa dan menekan kerajaan supaya kerajaan membenarkan pencarum mengeluarkan simpanan mereka.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob juga turut enggan melayan gesaan itu, menyebabkan Najib mengalihkan serangan terhadap Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz.

“Usahlah dengar nasihat menteri kewangan ketinggalan zaman PN, dengarlah rintihan rakyat” kata Najib merujuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Data KWSP menunjukkan majoriti mereka yang membuat pengeluaran KWSP adalah Bumiputera.

“Hasilnya, 4.4 juta atau 54% ahli bumiputera kini mempunyai kurang daripada RM10,000, dan dua juta atau 25% mempunyai kurang daripada RM1,000,” kata KWSP.

DPMM turut berkata krisis kemiskinan pada usia persaraan yang didepani rakyat Malaysia adalah satu perkara yang serius dan jauh lebih besar daripada krisis bencana alam.

Ia berkata dua pengeluaran melalui skim i-Citra tidak berjaya menangani kesukaran kewangan rakyat, bahkan menyebabkan mereka lebih menderita.

“Membenarkan pengeluaran juga tidak akan membantu golongan Bumiputera kerana walaupun dari segi bilangan mereka adalah kumpulan pencarum terbesar KWSP, tetapi dari segi nilai tabungan, mereka bukanlah sasaran kumpulan yang dapat dibantu dengan i-Citra 3.0.”

Katanya, wujud kaedah lain untuk membantu orang ramai dalam mendepani krisis kewangan akibat Covid-19 dan banjir yang melanda negara baru-baru ini.

Ia termasuk pinjaman tanpa faedah dan moratorium yang diumumkan kerajaan di mana pelaksanaannya boleh dipermudahkan lagi.