- Iklan -
Berita

PH kini desak penasihat SPRM disiasat

Pakatan Harapan mahu Pengerusi LPPR Abu Zahar Ujang direhatkan sehingga siasatan tersebut selesai.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah Abu Zahar Ujang.
Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah Abu Zahar Ujang.

Pakatan Harapan (PH) hari ini menggesa siasatan terhadap Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Abu Zahar Ujang berhubung pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki dalam beberapa syarikat kira-kira enam tahun lalu.

PH berkata pemilikan saham Azam itu menjejaskan integriti dan melumpuhkan kredibilit SPRM di mata rakyat dan masyarakat antarabangsa.

“Kami tidak dapat menerima kenyataan ketua pesuruhjaya dan pengerusi LPPR semalam, oleh kerana kenyataan ketua pesuruhjaya itu menunjukkan kemungkinan berlaku pelanggaran undang-undang dan percanggahan kepentingan melibatkan akaun saham beliau yang diguna untuk membeli berjuta saham bagi pihak adiknya.

“Pengerusi LPPR pula dengan begitu mudah mengiakan penjelasan tersebut, walaupun seharusnya siasatan yang lebih terbuka dan menyeluruh dilakukan,” kata Majlis Presiden PH dalam sebuah kenyataan yang ditandatangani Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Lim Guan Eng dari DAP dan Madius Tangau mewakili Upko.

Pada sidang media 5 Januari lalu, Azam mengatakan kesemua pemilikan saham tersebut sudah dipindahkan ke akaun adiknya.

Azam berkata pendedahan itu dibuat bagi memburukkan reputasinya yang sudah berkhidmat lebih 30 tahun bersama SPRM sambil menambah tindakan undang-undang bakal diambil kepada pihak-pihak yang didakwa berniat jahat itu.

“Mengenai tuduhan saya mengawal banyak syarikat, ini pembohongan oleh pihak-pihak tersebut untuk menjatuhkan reputasi saya,” katanya.

Dalam pada itu, LPPR melalui Abu Zahar juga berkata tiada konflik kepentingan dalam pembelian saham syarikat-syarikat tertentu oleh Azam.

Ia dibuat selepas lembaga itu mendengar sendiri keterangan dari Azam sendiri.

Dalam pada itu, PH turut menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk tidak berdiam diri berhubung isu tersebut.

“Selaku ketua majlis (Parlimen), beliau harus memanggil sidang Parlimen khas bagi menjelaskan keadaan sebenar
berhubung isu saham Azam.

“Beliau juga perlu memberi penjelasan bagaimana pengurusan dan pentadbiran SPRM menjadi rosak sehingga boleh berlaku kes-kes yang meranapkan imej institusi, termasuk kecurian RM25 juta wang kes Hasanah Abdul Hamid dan rompakan RM700,000 oleh pegawai SPRM,” kata PH.

Berhubung isu pemilikan saham tersebut, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) semalam berkata tindakan Azam yang berkongsi akaun Central Depositories (CDS) adalah melanggar undang-undang.

Menurut SC, Seksyen 29A Sicda menetapkan semua urusan dalam sekuriti hanya dilaksanakan oleh pemilik benefisial sekuriti atau penama tersebut.

“SC akan berhubung dengan pihak terlibat, termasuk Azam Baki, untuk mendapatkan penjelasan dan mengesahkan kenyataan yang dibuat, serta mengumpul sebarang bukti yang berkaitan.”