- Iklan -
Berita

Lebih 11,000 mangsa banjir masih di PPS

Kesemua mangsa banjir ditempatkan di 107 PPS di Pahang, Selangor, Kelantan, Negeri Sembilan dan Melaka.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Beberapa rumah di Sungai Rambai, Jasin masih digenangi air banjir. Gambar: Bernama
Beberapa rumah di Sungai Rambai, Jasin masih digenangi air banjir. Gambar: Bernama

Seramai 11,306 mangsa banjir dilaporkan masih berada di 98 pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan lima negeri, setakat malam ini.

Jumlah tersebut menunjukkan penurunan berbanding 16,281 petang tadi, dengan kesemua mangsa ditempatkan di 107 PPS di Pahang, Selangor, Kelantan, Negeri Sembilan dan Melaka.

Di Pahang, jumlah mangsa banjir malam ini yang direkodkan aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) adalah seramai 8,796 orang di 75 PPS dengan mangsa banjir terdiri daripada penduduk di Bentong, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Pekan.

Jabatan Meteorologi menjangka cuaca di semua daerah terlibat tidak hujan pada malam ini.

Di Selangor, Menteri Besar Amirudin Shari menerusi ciapan di Twitter rasminya memaklumkan kemas kini jumlah mangsa banjir di negeri itu setakat 8 malam adalah seramai 2,387 mangsa yang ditempatkan di 19 PPS.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pula menerusi laman Twitter rasminya memaklumkan tong sampah roll on roll off (RORO) yang disediakan oleh pihaknya, KDEB Waste Management Sdn Bhd dan agensi berkaitan adalah percuma kepada semua mangsa banjir.

Pihak berkuasa tempatan itu turut memaklumkan tiada sebarang bayaran dikenakan dan menasihati orang ramai supaya berwaspada terhadap mana-mana individu atau syarikat yang cuba mengambil kesempatan berkaitan tong berkenaan.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir mencatatkan penurunan setakat 9 malam ini iaitu seramai 54 orang daripada 15 keluarga berbanding 68 orang daripada 21 keluarga, petang tadi, melibatkan satu PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh, Pasir Mas.

Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan tiada sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya.

Di Negeri Sembilan, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri Mohd Syukri Madnor berkata mangsa banjir terus mencatat penurunan dengan 43 orang daripada 14 keluarga berbanding 53 individu daripada 17 keluarga petang tadi, dengan dua PPS masih beroperasi.

Di Melaka, Pengarah APM negeri Cuthbert John Martin Quadra berkata jumlah mangsa banjir masih tidak berubah iaitu 26 orang daripada lapan keluarga setakat 8 malam ini, dengan kesemuanya ditempatkan di PPS SK Penghulu Benteng, Jasin.