- Iklan -
Berita

Di sebalik banjir kerap di Shah Alam

Pakar jelaskan sebahagian faktor di sebalik masalah banjir di ibu negeri terkaya di Malaysia.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan dari udara banjir yang melanda Taman Sri Muda, Shah Alam. Selangor terjejas teruk akibat banjir selepas hujan berterusan pada 18 Disember lalu.
Pemandangan dari udara banjir yang melanda Taman Sri Muda, Shah Alam. Selangor terjejas teruk akibat banjir selepas hujan berterusan pada 18 Disember lalu.

Ketika perdebatan hangat berhubung banjir yang menjejaskan lapan negeri dan mengorbankan 48 nyawa setakat ini, persoalan terus timbul mengapa Shah Alam yang merupakan ibu negeri Selangor sering mengalami banjir.

Pakar yang bercakap kepada MalaysiaNow berkata kebanyakan masalah itu berpunca daripada topografi bandar tersebut.

Jurutera hidraulik, Nik Abdullah Muaz Nik Mohd Kamel berkata, Shah Alam mempunyai Sungai Klang sebagai sungai utama yang melalui kawasan ibu negeri itu yang juga mempunyai beberapa anak sungai lain seperti Sungai Damansara yang mengalir dalam Mukim Damansara.

Anak-anak sungai lain termasuk Sungai Kayu Ara, Sungai Rumput, Sungai Payong, Sungai Pelumut dan Sungai Pelampas.

“Dengan kedudukan tersebut, lebih kurang 70% daripada kadar alir lembangan Sungai Klang bergabung di pertemuan Sungai Klang dan Sungai Damansara. Di sinilah terletak lokasi kerap dilanda banjir di Taman Sri Muda, Stadium Shah Alam dan Taman Batu 3,” katanya juga pengarah firma perunding kejuruteraan kepada MalaysiaNow.

“Selain faktor hujan lebat yang melebihi kapasiti yang boleh ditampung oleh Sungai Klang dan Sungai Damansara serta anak-anak sungainya, lokasi-lokasi ini juga berada dalam dalam kawasan bertanah rendah.”

Shah Alam diisytiharkan menjadi ibu negeri Selangor pada tahun 1978, empat tahun selepas Kuala Lumpur dipisahkan dari negeri itu untuk dijadikan Wilayah Persekutuan.

Dahulu dikenali sebagai Sungai Renggam, tahun-tahun selepas perisytiharan itu menyaksikan transformasi Shah Alam daripada ladang kelapa sawit kepada sebuah bandar yang pesat membangun.

Meskipun begitu, bentuk muka bumi dan kedudukannya di hilir lembangan Sungai Kelang menyebabkan sebahagian lokaliti Shah Alam sering mengalami bencana banjir.

Menurut Nik Abdullah Muaz, paras Sungai Klang yang melalui Shah Alam itu turut dipengaruhi keadaan pasang surut.

Katanya, bentuk muka bumi seperti itu, ditambahkan dengan jumlah taburan purata hujan dalam tempoh sebulan yang turun dalam masa 24 jam pada 18 Disember lepas mengakibatkan banjir berskala besar.

Sebelum ini, banjir kilat turut berlaku di Shah Alam pada September juga disebabkan taburan hujan yang tinggi mengakibatkan kerosakan kenderaan dan rumah di beberapa kawasan seperti sekitar Stadium Shah Alam, Seksyen 4, 9, dan 10.

Banjir-banjir kilat yang terjadi sebelum ini sewajarnya bertindak sebagai loceng amaran kepada pihak berkuasa untuk mengambil langkah pencegahan, ditambah pula apabila banjir kilat baru-baru ini dilihat semakin kerap berlaku diluar jangkaan.

Wardah Tahir, dari kumpulan kajian banjir fakulti kejuruteraan UiTM berkata, selain faktor taburan hujan, banjir berlaku di kawasan rendah yang mempunyai peratusan tinggi permukaan tidak telap air (impervious surfaces) seperti kawasan stadium, parkir, simen, turapan bitumen dan bangunan menyebabkan air larian tidak dapat menyusup ke tanah dan mengalir dengan kelajuan tinggi memasuki sistem saliran.

“Analisa menunjukkan keluasan kawasan lembangan Sungai Damansara adalah sebanyak 141 kilometer persegi dengan kawasan yang telah dibangunkan adalah seluas 116.4 kilometer persegi, sementara kawasan hutan hanya seluas 24.6 kilometer persegi,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Semakin tinggi kadar urbanisasi, semakin tinggi jumlah hujan yang menjadi air limpahan.”

Tambah Nik Abdullah Muaz, bandar Shah Alam melaksanakan langkah-langkah struktur dan bukan struktur berdasarkan Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu dan Pengurusan Banjir Bersepadu bagi rancangan pengurusan banjir.

Menurut rancangan itu, usaha-usaha pengurusan banjir termasuk kerja pelebaran dan mendalamkan sungai, pembinaan ban, tembok banjir, kolam takungan banjir, pam air, pintu kawalan air dan pengurusan bencana. Bagaimanapun, ia perlu ditambah baik selaras dengan kemajuan yang dibangunkan.

“Setiap struktur tersebut direka bentuk untuk menampung kadar alir tertentu seperti banjir lima, 10, 20, 50 dan 100 tahun. Oleh itu, bagi peristiwa banjir yang berlaku melebihi kadar reka bentuk, struktur tersebut tidak mampu menampung dan mengalirkan air hujan yang banyak serta gagal menangani limpahan air banjir,” katanya.

Wardah berkata sistem saliran tidak berfungsi dengan baik selain enam kolam takungan banjir sedia ada di sekitar kawasan banjir tidak mampu menampung air banjir.

Nikmatul Adha Nordin dari Jabatan perancangan bandar dan wilayah Universiti Malaya berkata, pihak berkuasa perlu menilai semula sistem perparitan sedia, dari aspek keupayaan menampung larian air.

“Pembukaan kawasan perumahan baru perlu mengambil kira infrastruktur perparitan di kawasan-kawasan pembangunan lama atau sedia ada,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Lazimnya kawasan yang baru dibuka adalah lebih tinggi tapaknya dan jika banjir berlaku, kawasan baru tidak terjejas tetapi meningkatkan risiko kawasan sekeliling.”

Nikmatul menjelaskan, kawasan-kawasan yang dikenali sebagai kawasan dataran banjir perlu dikenal pasti dan sebarang pembangunan tidak harus dibenarkan di kawasan tersebut.

“Kawasan-kawasan lapang perlu diwartakan kerana litupan hijau boleh bertindak sebagai bio retention untuk menapis dan menyerap air larian permukaan,” katanya.