- Iklan -
Berita

Sempadan sekali lagi pisahkan sambutan Krismas keluarga Bidayuh

Namun mereka berdoa wabak Covid-19 segera berakhir agar dapat bersatu sekali lagi.

Nur Shazreena Ali
3 minit bacaan
Kongsi
Didun Sikau memasak nasi menggunakan dapur kayu di rumahnya di Kampung Sapit, Sarawak.
Didun Sikau memasak nasi menggunakan dapur kayu di rumahnya di Kampung Sapit, Sarawak.

Hari-hari menjelang Krismas biasanya akan membuatkan Dadun Sikau sibuk menyediakan juadah tradisional dan memantau aktiviti perayaan di seluruh Kampung Sapit, kira-kira 65km dari Kuching.

Sebagai pemimpin kampung tanggungjawabnya banyak, tetapi dia akan sentiasa mencari masa untuk memberi tumpuan kepada persiapan keluarganya juga.

Ia termasuk penyediaan hidangan pulut yang dipanggil pangkang selain ayam yang dimasak dalam buluh dikenali sebagai ayam pansuh.

Sementara itu, Ngug yang berusia enam puluh tahun pula akan menjalankan tanggungjawab tahunannya untuk meredah hutan Gunung Saraong.

Seorang wanita mengangkat bakul penuh barang yang diikat di kepala mendaki ke Kamgpung Sapit.

Dia mencari hasil hutan selain memburu babi hutan bagi disembelih dan dinikmati dalam jamuan perayaan di barok atau balai raya.

Orang lain pula akan sibuk menghias, mewujudkan suasana perayaan yang diraikan orang tua dan muda.

Terletak di kaki bukit Ulu Padawan, Kampung Sapit adalah tempat tinggal kepada kira-kira 450 orang Bidayuh Biyatah yang menetap di Tanah Tinggi Borneo yang indah berdekatan kawasan sempadan dengan Kalimantan.

Dari Kuching, kampung itu boleh diakses dengan kereta di mana perjalanan akan mengambil masa kira-kira dua jam.

Akan tetapi perjalanan dari Indonesia adalah lebih dekat, hanya 20 minit dari sempadan negara itu.

Musim Krismas biasanya akan meriah dengan pelbagai aktiviti di mana penduduk dari beberapa kampung akan berkumpul untuk meraikan perayaan tersebut.

Di Sarawak, perayaan akan disambut oleh semua orang tanpa mengira kaum atau agama, dan perkara yang sama turut berlaku bagi sambutan Krismas.

Penduduk kampung akan menjadikannya sebagai peluang untuk melakukan aktiviti menziarahi rakan-rakan, keluarga dan jiran-jiran manakala kanak-kanak dan remaja duduk di beranda buluh yang dikenali sebagai tanju untuk berlatih “carolling”.

“Krismas sentiasa menyeronokkan dan meriah di kampung kerana orang tua tidak sabar untuk bertemu ahli keluarga yang pulang dari bandar,” kata Paulina, anak perempuan Dadun dan ibu kepada dua anak.

“Ia adalah masa yang sangat meriah, semua rakyat Sarawak berkumpul sama ada dari jauh dan dekat.”

Penduduk Kampung Sapit berketurunan Bidayuh Biyatah menikmati udara bukit di rumah mereka.

Bercakap kepada MalaysiaNow, dia berkata kampung berhampiran Ulu Padawan itu akan menganjurkan pelbagai aktiviti termasuk nyanyian lagu Krismas, sukaneka, pencarian harta karun, pertandingan ratu cantik untuk kanak-kanak, koir dan pertandingan hiasan Krismas.

“Akan ada banyak acara nyanyian karaoke juga,” kata Paulina.

“Namun, tahun ini, tidak semua orang dapat pulang ke kampung.”

Selain itu, nyanyian dari rumah ke rumah juga tidak ada, jadi penduduk kampung hanya perlu berpuas hati dengan persembahan koir dan berkumpul di balai raya mereka yang dikenali sebagai barok atau panggah.

Malahan acara memburu binatang seperti babi hutan hanya tinggal kenangan sejak dua tahun lalu.

Akan tetapi, di sebalik apa yang terjadi penduduk kampung berharap musim Krismas kali ini akan jadi lebih baik.

“Orang tua di kampung ada katakan, sekurang-kurangnya kami harus cipta aura Krismas dengan bau buluh di sini,” kata Paulina.

Buluh memainkan peranan utama dalam kehidupan masyarakat Bidayuh di Kampung Sapit.

Tumbuhan itu memainkan peranan penting dalam kehidupan orang Bidayuh, batang buluh juga digunakan untuk membaiki atau menggantikan jambatan mereka setiap kali Gawai dan Krismas.

Beberapa tahun lalu, satu-satunya cara untuk mengakses kampung itu adalah dengan berjalan kaki, melalui hutan dan merentasi beberapa jambatan.

Kini, dengan pembangunan jalan raya yang lebih baik, kampung ini dapat mengadakan sambutan Krismas yang lebih besar.

Namun, itu semua adalah sebelum pandemik Covid-19.

Tahun ini, tiada perhimpunan besar ahli keluarga dari kampung yang terletak di seberang sempadan.

Sebelum penularan wabak Covid-19, penduduk Kampung Sapit akan berjumpa saudara mara mereka di Kampung Gun Tembawang di Kalimantan di mana perjalanannya memakan masa kira-kira 20 minit berjalan kaki.

Kedua-dua kampung itu adalah tempat tinggal masyarakat Bidayuh, yang saling mempunyai hubungan kekeluargaan.

Sudah sekian lama, perayaan seperti Gawai dan Krismas merupakan peluang untuk penduduk kampung dari kedua-dua negara bertemu.

Setiap kali malam Krismas, mereka akan berkumpul di gereja di Kampung Sapit untuk berdoa.

“Biasanya, kumpulan kamping kami dan mereka akan menyanyi bersama-sama, mengelilingi kawasan kejiranan, menyanyikan lagu Krismas bersama-sama dari rumah ke rumah,” kata Azlyn Begus yang berusia 16 tahun kepada MalaysiaNow.

Oleh kerana varian Omicron yang tersebar dengan pantas, sempadan masih ditutup tahun ini.

Dua kali sambutan Krismas secara berturut, keluarga yang dipisahkan sempadan tidak dapat berkumpul.

Bagaimanapun, mereka masih menunggu dengan sabar dan berharap pandemik segera berakhir supaya dapat berkumpul meraikan Krismas bersama sekali lagi.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.