- Iklan -
Berita

Wajarkah subsidi diperkenal untuk tampung harga barang?

Subsidi makanan, bantuan tunai dan program 'food stamp' harus bersasar dan menumpukan golongan rentan seperti B40 berikutan kekangan kewangan kerajaan ketika ini.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Pasangan suami isteri memilih sayuran di pasar Jalan Raja Bot, Chow Kit. Kebimbangan mengenai kenaikan harga makanan mentah dan sayuran mula disuarakan orang ramai akhir-akhir ini.
Pasangan suami isteri memilih sayuran di pasar Jalan Raja Bot, Chow Kit. Kebimbangan mengenai kenaikan harga makanan mentah dan sayuran mula disuarakan orang ramai akhir-akhir ini.

Kenaikan harga barangan terutama bahan mentah dan sayur-sayuran baru-baru ini mencetuskan kegelisahan ramai pihak berhubung kuasa beli rakyat yang semakin berkurangan, apatah lagi ia melibatkan elemen paling penting dalam sara hidup, iaitu makanan.

Harga sayur dan ayam antara bahan mentah yang dilaporkan naik dalam tempoh sebulan ini dan dikatakan berpunca daripada masalah rantaian bekalan apabila permintaan semakin meningkat selepas kerajaan melonggarkan sekatan pergerakan di seluruh negara.

Faktor lain yang dikenal pasti ialah kekurangan tenaga kerja di sektor pertanian, selain harga dedak ayam import yang turut melonjak naik.

Ahmad Razman dari Universiti Putra Malaysia berkata bantuan dalam bentuk subsidi wajar diberikan kepada rakyat bagi mengurangkan tekanan kewangan yang dihadapi mereka, membabitkan barangan asas seperti minyak masak dan petrol.

“Kita tiada subsidi, ia akan menyebabkan barangan lain turut terkesan dan naik harganya,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Harga petrol yang tinggi akan meningkatkan kos pengangkutan dan harga minyak masak yang tinggi akan meningkatkan kos makanan yang dimasak.”

Bagaimanapun katanya, pemberian itu harus bersasar dan menumpukan kepada golongan rentan seperti B40 berikutan kekangan kewangan kerajaan.

Mengenai kemampuan memberikan subsidi, katanya kerajaan masih mampu membekalkan subsidi ekoran kenaikan harga komoditi petroleum dan minyak sawit yang memberikan pendapatan tambahan kepada kerajaan.

“Sebagai contoh, kenaikan harga minyak sawit memberi tambahan hasil kepada kerajaan melalui cukai laba dan hasil yang dikutip adalah sekitar RM400 juta setiap suku tahun.

“Manakala, harga petroleum yang tinggi membolehkan Petronas memberi dividen tahunan yang lebih tinggi kepada kerajaan,” katanya.

Bagaimanapun, Adilah Zafirah Mohd Suberi daripada Institut IRIS berkata, bantuan bersasar dalam bentuk tunai lebih diperlukan kepada golongan rentan.

“Subsidi kurang berkesan dan merupakan solusi jangka masa pendek lagipun akan tambah beban kewangan kerajaan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Beliau berkata, solusi jangka panjang membabitkan pelaburan meningkatkan produktiviti dan akses pasaran.

Ia akan mengambil masa bagi mengimbangkan semula permintaan dan bekalan namun mampu mengurangkan kebergantungan mendapatkan bahan bekalan dari negara luar, selain menambah peluang pekerjaan.

Menurut Laporan Audit 2020, sejumlah RM77.36 juta peruntukan yang di luluskan bagi 12 projek di lima kementerian dan jabatan tidak dibelanjakan langsung.

Daripada jumlah itu, RM44.27 juta tidak dibelanjakan untuk tujuh projek di bawah kementerian pertanian dan industri makanan.

Antara projek itu ialah projek pembangunan komoditi tanaman, projek lembu pedaging, dan jabatan perkhidmatan haiwan dan perusahaan ternak.

Sementara itu, penganalisis ekonomi Barjoyai Bardai berkata kerajaan wajar mempromosikan semula pasar tani secara besar-besaran untuk membekalkan barangan asas kepada rakyat.

“Kita boleh menyokong pasar tani menjual barang pada harga yang lebih murah dengan mendapatkan barangan secara terus daripada ladang,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Kita mesti adakan sebanyak mungkin pasar tani di kawasan-kawasan perumahan.”

Beliau turut mencadangkan subsidi dalam bentuk program “food stamp” yang boleh diedar di pasar tani tersebut dengan rekod dan mekanisme kawalan yang betul.