Istilah ‘tanah besar’ tidak pernah diguna dalam Perlembagaan, kata timbalan menteri
Menurut Hanifah, istilah 'Malaysia Timur' bagi Sabah dan Sarawak sudah memadai.
Terkini
Cadangan menjenamakan Sabah dan Sarawak sebagai Tanah Besar Malaysia tidak membawa sebarang keistimewaan kepada kedua-dua negeri itu.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Hanifah Hajar Taib berkata kerajaan berpandangan istilah sedia ada dalam undang-undang iaitu Malaysia Timur adalah memadai.
Beliau berkata berdasarkan semakan undang-undang yang dibuat Jabatan Peguam Negara, didapati istilah Tanah Besar Malaysia tidak pernah digunakan dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang sedia ada.
“Penjenamaan itu tidak membawa apa-apa, kerana ia hanya bagi easy reference, tidak menambah atau menolak apa-apa keistimewaan kepada mana-mana negeri,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Madius Tangau (Upko-Tuaran) mengenai sama ada kerajaan akan mengkaji untuk menjenamakan Sabah dan Sarawak sebagai Tanah Besar Malaysia memandangkan Federation of Malaya sudah sekian lama dinamakan sebagai Semenanjung Malaysia.
Menurutnya di bawah undang-undang sedia ada, terdapat beberapa istilah yang digunakan seperti East Malaysia dan Peninsular Malaysia.
Tambahan pula katanya cadangan pindaan Perkara 1(2) seperti yang diperuntukkan dalam Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 sekiranya diluluskan kelak, akan memperuntukkan kembali istilah Negeri-Negeri Borneo bagi merujuk kepada Sabah dan Sarawak.
Pada 3 November lepas, kerajaan membentangkan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat antaranya untuk memasukkan negeri-negeri Tanah Melayu dan negeri-negeri Borneo.
Bacaan kali kedua rang undang-undang itu dijangka dibuat pada sesi Dewan Rakyat ini.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
