- Iklan -
Berita

1,076 kes dera kanak-kanak dilaporkan di Selangor sejak Januari hingga September

Jumlah tersebut merangkumi penderaan fizikal (527 kes), penderaan emosi (35 kes) dan penderaan atau gangguan seksual (514 kes), tanpa mengkhususkan kes pedofil.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Jabatan kebajikan negeri memiliki 11 Pasukan Pelindungan Kanak-kanak (PPKK) di setiap daerah berperanan sebagai sistem sokongan kepada perkhidmatan perlindungan golongan itu di peringkat komuniti.
Jabatan kebajikan negeri memiliki 11 Pasukan Pelindungan Kanak-kanak (PPKK) di setiap daerah berperanan sebagai sistem sokongan kepada perkhidmatan perlindungan golongan itu di peringkat komuniti.

Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini dimaklumkan sejumlah 1,076 kes penderaan kanak-kanak telah dilaporkan di negeri tersebut dari tempoh Januari hingga September tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud berkata berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia Selangor, jumlah tersebut merangkumi penderaan fizikal (527 kes), penderaan emosi (35 kes) dan penderaan atau gangguan seksual (514 kes), tanpa mengkhususkan kepada kes pedofil.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Juwairiya Zulkifli (PH-Bukit Melawati) mengenai jumlah kes pedofilia yang dicatatkan di Selangor.

Bagi membantu mencegah dan mengurangkan kes melibatkan kanak-kanak termasuk kes pedofilia, beliau berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor mempunyai 11 Pasukan Pelindungan Kanak-kanak (PPKK) di setiap daerah yang berperanan sebagai sistem sokongan kepada perkhidmatan perlindungan golongan itu di peringkat komuniti.

Dr Siti Mariah berkata PPKK juga bertanggungjawab menyelaras aktiviti di 17 Pusat Aktiviti Kanak Kanak (PAKK) di setiap daerah mengikut keperluan masyarakat setempat.

“PAKK setiap daerah boleh menjalankan berfungsi sebagai tempat rekreasi, pusat advokasi, pusat sumber, pusat pembelajaran, pusat intervensi krisis, pusat sukan dan riadah serta lain-lain aktiviti yang bersesuaian dan mengikut keperluan.

“Usaha ini dilakukan untuk membantu mencegah kes-kes penganiayaan dan pengabaian kanak-kanak, ponteng sekolah, kerosakan akhlak dan lain-lain masalah sosial,” katanya.