- Iklan -
Berita

Cucu P Ramlee antara 3 individu terlepas tali gantung

Ketiga-tiga mereka dibebaskan daripada pertuduhan mengedar dadah selepas menjalani perbicaraan panjang.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Peguam Zaid Malek (dua dari kiri) dan Latheefa Koya (kanan) bersama Zakaria Nasir dan ibunya di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.
Peguam Zaid Malek (dua dari kiri) dan Latheefa Koya (kanan) bersama Zakaria Nasir dan ibunya di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.

Cucu kepada ikon filem Malaysia P Ramlee adalah antara tiga individu yang terlepas tali gantung hari ini selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan mereka daripada pertuduhan mengedar dadah kira-kira empat tahun lalu.

Zakaria Nasir ditahan bersama Mohd Faizul Zulkipli dan Mohammad Saifuddin Darmawan pada 15 Januari 2018 selepas polis menemui dadah ketika serbuan dilakukan di sebuah pangsapuri di Puchong.

Ketiga-tiga mereka didakwa mengedar dadah mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1955 dan menghabiskan tempoh perbicaraan di penjara.

Hakim Mahkamah Tinggi Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor membebaskan mereka hari ini selepas memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes itu melampaui keraguan munasabah.

Faizul (dua dari kiri) dan ibu bapanya bersama peguam Rajpal Singh.

Rajpal Singh Mukthiar Singh dan Phan Yantong Nur Sarah mewakili Faizul manakala Dir Kheizwan Bin Ab Halim @ Kamaruddin mewakili Saifuddin sementara Zakaria diwakili Latheefa Koya dan Zaid Malek.

Pendakwaan dikendalikan Mohammed Heikal Ismail.

Pengedaran dadah dianggap sebagai kesalahan yang boleh membawa hukuman mati jika disabitkan.

Kerajaan di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) bersetuju untuk mengenakan moratorium ke atas semua hukuman mati sementara langkah-langkah diambil dalam usaha memansuhkan hukuman tersebut.

Bagaimanapun, pada Mac 2019, pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) berkata ia akan memansuhkan hukuman mati mandatori bagi 11 kesalahan jenayah namun menyerahkan kepada budi bicara mahkamah dalam memutuskan hukuman gantung sampai mati bagi mereka yang disabitkan kesalahan berat.

Sejak itu, tiada langkah lanjut diambil kerajaan dalam pemansuhan separa hukuman tersebut.