- Iklan -
Berita

Mahkamah Rayuan perintah Deepak, syarikat bayar kos RM40,000

Panel tiga hakim menganugerahkan kos RM10,000 kepada setiap responden memandangkan pertukaran peguam dibuat di saat-saat akhir.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak dan isteri Rosmah Mansor. Gambar: AP
Bekas perdana menteri Najib Razak dan isteri Rosmah Mansor. Gambar: AP

Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan ahli perniagaan J.R. Deepak Jaikishan, adiknya dan syarikat mereka membayar kos keseluruhan RM40,000 berikutan peguam mereka menarik diri daripada mewakili mereka dalam rayuan berhubung saman yang difailkan terhadap Najib Razak dan isteri serta tiga yang lain.

Panel tiga hakim diketuai hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah menganugerahkan kos RM10,000 kepada setiap responden memandangkan pertukaran peguam dibuat di saat-saat akhir dan ini adalah kali kedua mereka menukar peguam.

Hakim Mohamad Zabidin berkata memandangkan peguam Deepak telah menarik diri dan rayuan itu perlu ditangguhkan, kos RM10,000 kepada setiap responden adalah wajar, iaitu kepada bekas perdana menteri (Najib) dan Rosmah Mansor, bekas Pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Abdul Rahim, adik Najib Ahmad Johari Abdul Razak dan bekas ketua setiausaha sulit Najib, Shukry Mohd Salleh.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Abu Bakar Jais dan Che Mohd Ruzima Ghazali.

Terdahulu, hakim Mohamad Zabidin membenarkan permohonan peguam Magita Hari Mogan untuk menarik diri daripada mewakili Deepak, adiknya J. Rajesh dan syarikat mereka Radiant Splendour Sdn Bhd dalam empat kes rayuan tersebut.

Beliau memberitahu mahkamah perintah pelepasan itu difailkan pada hari Jumaat (26 November) selepas gagal mendapat arahan daripada anak guamnya.

Terdahulu, peguam yang mewakili Najib dan Rosmah, David Matthews serta peguam Dhinesh Bhaskaran yang mewakili Ahmad Johari, peguam Porres Royan mewakili Abdul Azeez dan peguam Farah Shuhadah Razali bagi pihak Shukry meminta kos RM10,000 selepas Magita memaklumkan kepada mahkamah mengenai pemfailan perintah pelepasan itu.

Hakim Mohamad Zabidin kemudian mengarahkan kes itu dihantar untuk pengurusan kes di hadapan timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan hari ini, yang kemudiannya menetapkan 14 Disember untuk pengurusan kes lain.

Perayu Deepak, Rajesh dan Radiant Splendour merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 14 Januari tahun lepas yang membatalkan tuntutan mereka terhadap responden.

Dalam saman itu, perayu menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan, mendakwa akibat konspirasi, telah menyebabkan dua beradik itu dan syarikat mereka mengalami kerugian.

Mereka juga mendakwa semua responden telah melakukan konspirasi, penipuan, penyelewengan dan penyalahgunaan proses.