- Iklan -
Berita

476,037 individu layak mengundi pada Sabtu, kata SPR

Pengundi disaran membuat semakan lebih awal mengenai maklumat pengundian sebelum hari mengundi melalui portal semakan daftar SPR, atau aplikasi MySPR Semak.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pegawai tentera menjalankan tanggungjawab membuang undi di pusat mengundi, Kem Terendak, Melaka pada 16 November lalu.
Pegawai tentera menjalankan tanggungjawab membuang undi di pusat mengundi, Kem Terendak, Melaka pada 16 November lalu.

Seramai 476,037 orang pengundi biasa daripada keseluruhan 495,195 orang pengundi berdaftar, layak mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Sabtu ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan memaklumkan bahawa daripada jumlah keseluruhan itu, seramai 11,557 orang adalah pengundi awal dan 7,601 orang mengundi secara pos.

Beliau berkata pengundi yang telah mengetahui maklumat pengundian, boleh terus ke saluran mengundi dan disaran membuat semakan lebih awal sebelum hari mengundi melalui portal semakan daftar pemilih https://pengundi.spr.gov.my/. aplikasi MySPR Semak dan Hotline SPR di talian 03-8892 7018.

“Semasa membuat semakan, pengundi disaran untuk mencatat dan menyimpan maklumat-maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih,” katanya.

Ikmalrudin berkata SPR melalui aplikasi MySPR Semak turut meletakkan maklumat masa keluar mengundi yang digalakkan untuk setiap pengundi, dan mereka dinasihatkan supaya keluar mengundi mengikut masa yang dicadangkan.

“Sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari pukul 8 pagi hingga 5.30 petang.

“Namun demikian, pengundi adalah dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir, dan mereka perlu sentiasa mematuhi semua undang-undang, peraturan serta garis panduan pencegahan Covid-19 pada hari mengundi nanti,” katanya.

Ikmalrudin berkata pengundi juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada kerani pengundian pertama (KP1) di saluran bagi memudahkan semakan nama pengundi dibuat serta membantu kelancaran proses pengundian.

Selain itu, pengundi juga dinasihatkan supaya tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain daripada petugas pilihan raya.

“SPR menyeru kepada semua pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi pada Sabtu ini,” katanya.

PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Sulaiman Md Ali, dan SPR menetapkan hari pengundian pada Sabtu ini.