- Iklan -
Berita

Nagaenthran terima proses perundangan sewajarnya, kata Singapura

Perdana menteri Singapura dan menteri luarnya telah membalas surat kerajaan Malaysia berhubung Nagaenthran.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Nagaenthran K Dharmalingam sebelum ini dijadualkan menjalani hukuman mati pada 10 November.
Nagaenthran K Dharmalingam sebelum ini dijadualkan menjalani hukuman mati pada 10 November.

Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan Menteri Hal Ehwal Luar Vivian Balakrishnan sudah pun membalas surat rakan sejawatan dari Malaysia, memaklumkan bahawa rakyat Malaysia yang sedang menunggu hukuman mati atas sabitan kesalahan dadah di republik itu telah menerima proses perundangan sewajarnya.

Ini berdasarkan kenyataan dikeluarkan kementerian luar Singapura sebagai menjawab pertanyaan media mengenai surat yang diutus pemimpin Malaysia berhubung penghakiman kes Nagaenthran K Dharmalingam, 33, rakyat Malaysia yang berasal dari Perak.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Luar Saifuddin Abdullah sebelum ini telah mengutus surat kepada rakan sejawatan di Singapura, meminta budi bicara pihak berkuasa di Singapura untuk memberikan pengampunan presiden kepada Nagaenthran.

Saifuddin sebelum ini dilaporkan berkata: “Dalam hal ini saya kena ulang, kita boleh memohon melalui cara kita, berhubung dengan mengutus surat, tetapi kita tidak boleh campur dari segi urusan dan proses undang-undang di negara Singapura,” katanya kepada pemberita sambil menambah Malaysia menghormati proses udang-undang Singapura.

Nagaenthran ditahan pihak berkuasa Singapura pada 22 April 2009 atas kesalahan penyeludupan dadah jenis diamorphine seberat 42.72 gram dan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Singapura pada 22 November 2010.

Proses rayuan melalui mahkamah telah pun dibuat oleh peguam keluarga Nagaenthran sehingga ke peringkat akhir, iaitu melalui permohonan pengampunan presiden. Bagaimanapun, permohonan itu telah ditolak pada 1 Jun 2020.

Nagaenthran, dijatuhi hukuman mati 11 tahun lepas dan dijadualkan menjalani hukuman itu pada 10 November 2021, bagaimanapun mendapat perintah penangguhan sementara pada 9 November selepas mahkamah dimaklumkan dia didapati positif Covid-19 ketika hadir untuk mengemukakan rayuan terakhirnya.

Susulan itu, Mahkamah Rayuan telah memerintahkan penangguhan hukuman.