- Iklan -
Berita

Membongkar daya tarikan budaya pop Korea Selatan

Daripada nilai yang dikongsi bersama hingga konsep luar biasa, drama televisyen Korea seperti 'Squid Game' menggemparkan dunia.

Danisyah Dalily
4 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai bergambar dengan patung dan 'krew' Squid Game di Sunway Pyramid, Subang.
Orang ramai bergambar dengan patung dan 'krew' Squid Game di Sunway Pyramid, Subang.

Pernah suatu ketika, industri filem popular seperti Bollywood menjadi sumber luar pertama hiburan Asia di Malaysia.

Walaupun kerya-karya sinematik Hindi masih berpengaruh di negara ini, gelombang lain turut dengan pantas mengumpul pengaruh dan kuasanya yang tersendiri di Malaysia bahkan di seluruh dunia.

Budaya popular Korea Selatan mula mempengaruhi dunia sejak awal 2000-an, bermula dengan drama televisyen “Winter Sonata” – sebuah kejayaan global pertama yang menarik ramai peminat tegar di seluruh Asia.

Gelombang Korea atau Hallyu kini menikmati kejayaan yang lebih hebat di pentas dunia dengan hit terbaru – “Squid Game” – siri drama “thriller” keluaran negara itu di platform Netflix, sebuah platform perkhidmatan strim popular di seluruh dunia.

Bercakap kepada MalaysiaNow, beberapa pakar industri memberikan pelbagai sebab mengapa populariti menakjubkan dinikmati gelombang Hallyu.

“Drama Korea ialah satu cara mudah eskapisme – ia merangsang serotonin melalui plot percintaan romantik dan pelakon yang menarik,” kata Arifah Husna Badlishah, pegawai perhubungan digital di Edinburg University, Scotland.

“Ia adalah satu cara singkat untuk lari dari masalah kehidupan sebenar.”

Memandangkan pandemik Covid-19 yang bakal menandakan ulang tahun kedua sejak ia melanda dunia pada akhir 2019, perkara ini mungkin sesuatu yang sangat dihargai ramai orang.

Namun di Asia, daya tarikan drama Korea Selatan mungkin berpunca daripada budaya yang ditonjolkannya, kerana ia memiliki kesamaan dengan budaya di negara ini.

Mengenai perkara ini, Arifah barangkali menyuarakan perasaan orang ramai.

“Saya suka K-drama kerana saya rasa jalan ceritanya lebih menarik berbanding drama tempatan, namun ia masih mengekalkan aspek Timur seperti nilai kekeluargaan dan budaya,” katanya.

Selain itu, katanya, drama Korea Selatan juga menonjolkan aspek kekeluargaan dan sebahagian besar drama keluaran negara itu boleh dinikmati tanpa rasa risau dengan adegan janggal.

Menurut Arifah, perkembangan drama Korea Selatan yang pesat di seluruh dunia memberikan faedah yang ketara kepada negara itu selepas berusaha keras mengembangkan industri kreatifnya, terutama kepada sektor ekonomi dan pelancongannya.

“Saya tidak fikir Korea Selatan menjadi destinasi popular dalam kalangan pelancong Malaysia 15 tahun lalu, namun kini ramai yang ingin ke sana kerana mahu melihat lokasi penggambaran drama Korea kegemaran mereka, atau lokasi yang berkaitan dengan idola mereka,” kata Arifah.

“Apabila saya memikirkan Korea Selatan, perkara pertama yang terlintas di fikiran ialah industri hiburan mereka.”

Populariti sedemikian juga mengharumkan nama Korea Selatan di peringkat global.

Arifah berkata ramai peminat Hallyu di Barat kini sangat berminat dengan Korea Selatan dan Asia secara amnya, ekoran budaya pop yang diperkenalkan industri negara tersebut.

‘Relevan’

Pengarah filem Eoon Suhaimi pula memberi pandangan dengan memetik konsep dan idea yang luar biasa dan tidak konvensional dalam drama-drama Korea Selatan.

Memberi contoh “Squid Game”, beliau berkata drama bersiri itu berjaya menunjukkan kebimbangan mendalam orang ramai berhubung jurang pendapatan dan jurang ekonomi di seluruh dunia, menjadikan ia sebuah karya yang sangat relevan dengan kehidupan sebenar.

Memetik tempoh panjang pembikinannya – 10 tahun – Eoon berkata ia menunjukkan keazaman Korea Selatan untuk menonjolkan seni sinematiknya selain mengembangkan eksport budaya negara tersebut.

Penganalisis keselamatan dan politik Noor Nirwandy berkata Korea Selatan menggunakan unsur-unsur diplomasi termasuk apa yang dipanggil “feel-good factors” seperti sifat fizikal pelakon yang menarik dan komposisi lagu.

“Inilah kemungkinan sebabnya pencerobohan budaya dapat diterima generasi muda,” katanya.

Beliau turut memetik isu geopolitik seperti keinginan untuk menunjukkan sokongan terhadap nilai demokrasi berbanding yang nilai yang dikaitkan dengan Korea Utara yang terkenal mengongkong rakyat dan kerajaan autoritarian.

Menurut beliau, dengan jutaan orang di seluruh dunia membina hubungan baik dengan budaya Korea Selatan daripada industri kreatifnya, negara itu kini menjadi kuasa lembut yang berpengaruh di peringkat global.

Nirwandy turut berkata Korea Selatan menggunakan “propaganda kuasa lembut” dengan menyentuh minda dan hati, mempromosikan perspektif dan budayanya sehingga ia kini menjadi sebahagian trend dalam masyarakat di seluruh dunia.

“Penjenamaan budaya pop Korea Selatan kepada standard tertentu menerima pengiktirafan politik global selain turut meningkatkan pertumbuhan ekonomi dunia,” tambah Nirwandy.

Beliau juga merujuk kepada kaitan antara daya tarikan fizikal yang dikaitkan dengan drama Korea Selatan dan industri fesyen dan kosmetik yang sangat berpengaruh di negara ini.

Ekoran itu, katanya, eksport kosmetik negara itu juga melonjak, menjadikan Korea Selatan sebagai sumber ketiga terbesar dunia barangan kosmetik.

Di mana Malaysia?

Ketika ditanya mengenai perbandingan dengan industri perfileman Malaysia, Eoon berkata faktor utama di sebalik perjuangan industri perfileman negara adalah modal.

“Kita mempunyai idea tetapi modal sangat terhad menyebabkan kreativiti terbantut,” katanya.

Beliau juga berkata eksport budaya menghadkan ruang artis tempatan untuk menghasilkan kandungan mereka sendiri.

“Bila kita hasilkan sesuatu yang kelihatan serupa, orang akan kata kita tak original. Tapi bila kita nak hasilkan konsep kita sendiri, kita tidak diberi ruang untuk kreatif.

“Orang ramai tidak memandang tinggi kepada industri kreatif tempatan kerana semakin banyak drama Korea disiarkan.”

Bagi membolehkan industri kreatif Malaysia berkembang, beliau berkata sasaran pasaran mestilah pada skala global dan bukan hanya untuk rakyat tempatan.

“Korea Selatan meletakkan sasaran produk hiburan mereka adalah untuk pelanggan global. Ini adalah pemikiran yang menjadi punca kejayaan mereka,” katanya.

Eoon menambah, dengan menetapkan standard yang tinggi dalam karya sinematik mereka menjadikan Korea Selatan cenderung untuk melabur dalam menghasilkan filem atau drama berkualiti tinggi.

Eoon jug berkata kerajaan Korea Selatan melabur dalam usaha jangka panjang bagi mengembangkan industri kreatif yang dikhususkan.

“Sekiranya kerajaan kita beri lebih banyak sokongan, saya percaya kita juga akan maju,” katanya.

Pandangan Eoon itu adalah visi yang turut dipersetujui Arifah.

“Saya hanya boleh berharap satu hari nanti Malaysia akan mencapai tahap sedemikian,” katanya.